PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima dana penyelidikan sebanyak RM70 ribu daripada UWG Marketing & Distributors Sdn. Bhd. dalam satu sesi pertemuan yang telah diadakan pada 13 Oktober 2021 bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Sumbangan dana tersebut bertujuan untuk menggalakkan dan mempromosikan penyelidikan yang berkaitan dengan herba warisan negara khususnya halia hitam.
Ia juga bagi menggalakkan kolaborasi staf dan industri, pelajar pra siswazah dan pelajar pasca siswazah di UTHM selain menggalakkan penerbitan bersama, dan kerjasama lain yang dipersetujui oleh dua pihak. Projek penyelidikan pada fasa awal ini adalah tertumpu kepada pokok halia hitam dan khasiatnya.
Sesi perbincangan mengenai projek kolaborasi UTHM-industri ini telah disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar serta Pengarah Bersama UWG, Azman Mohamad dan Ahmad Fathi Muhamad Hanafi.
Turut serta ketua projek penyelidikan, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Haziman Wan Ibrahim, Ketua Jabatan Kerjasama Industri dan Masyarakat (ICRC), Dr. Nadirul Hasraf Mat Nayan, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomesilan (ICC), Profesor Madya Ts. Dr. Norzila Othman, Pegawai Eksekutif ICC, Mohd Hafiz Burhan, Ketua Unit Pemasaran UWG, Najmuddin Ali, wakil Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar dan pembantu penyelidik, Amirul Akmal Rahim.
Untuk rekod, UWG Marketing & Distributors adalah sebuah syarikat bumiputera yang bergiat aktif dalam industri herba sejak penubuhan pada 2017 yang berpangkalan di Besut, Terengganu. Sepanjang tempoh tersebut, UWG telah berjaya menghasilkan lebih daripada 300 orang usahawan bumiputera.
Antara produk keluaran UWG yang telah berjaya mendapat permintaan yang tinggi adalah Fatman Kapsul Ekstrak Peria daripada peria katak dan Fatman Kapsul Hilia daripada halia hitam.
Bagi menyambut komitmen padu dari UWG, UTHM turut mengeluarkan dana padanan (matching grant) untuk program inisiatif baharu iaitu Research Enhanced-Structured Internship Programme (RE-SIP) sebanyak RM40 ribu.
Dana tersebut bagi mewujudkan hubungan kerjasama penyelidikan antara UTHM dan UWG melalui gabungan Latihan Industri (LI) dan Projek Sarjana Muda (PSM) pelajar.
Menurut Dr. Mohd Fadzelly, UTHM melihat jalinan kerjasama dengan UWG ini juga mampu merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pendidikan serta perundingan antara dua pihak.
“Kerjasama ini juga akan meningkatkan lagi pembangunan dan pelaksanaan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk herba.
Tambah beliau kerjasama itu juga untuk pembangunan program pra siswazah dan pasca siswazah di UTHM yang dapat menghasilkan para pelajar yang bermutu tinggi dan berdaya saing.
“Kerjasama ini juga akan meningkatkan lagi pembangunan dan pelaksanaan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk herba di samping pembangunan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Industri Herba) di UTHM,” katanya.
UTHM dan UWG Marketing & Distributors akan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) ketika berlangsungnya program International Conference on the Application of Science and Mathematics 2021 (SCIEMATHIC 2021) secara dalam talian pada 27 Oktober 2021 nanti.