Merdeka. Apakah erti kemerdekaan bagi diri anda? Adakah cukup dengan laungan keramat “Merdeka!” menjelangnya tanggal 31 Ogos? Atau adakah cukup sekadar mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik menyambut Hari Kemerdekaan? Penulis ingin mengajak anda melihat nilai kemerdekaan dari sisi kaca mata pandemik Covid-19.
Dunia hari ini sudah melewati tahun kedua semenjak serangan wabak Koronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19. Rakyat Malaysia telah menghadapi fasa demi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020. Sudah pastinya menjelang Hari Kebangsaan ke-64 pada tahun ini, nilai kemerdekaan itu dapat dilihat dari sudut pandangan yang berbeza susulan perintah berkurung yang berpanjangan dan seolah-olah tidak berpenghujung.
Perkataan merdeka sangat sinonim dengan kebebasan fizikal. Pelbagai fasa PKP yang dilalui oleh rakyat Malaysia telah mengajar betapa berertinya nilai kebebasan yang hilang walau hanya sementara waktu. Sebagai contoh; perintah untuk duduk di rumah, larangan merentas daerah dan negeri, serta larangan untuk berhimpun dalam jumlah yang ramai. Betapa kita rindu akan nikmat bebas untuk ke mana-mana saja tanpa sebarang sekatan dan halangan. Betapa kita rindu akan kemeriahan untuk berkumpul seisi keluarga. Betapa kita rindu juga untuk menikmati sepinggan roti canai dan secangkir teh bersama sahabat handai. Seandainya wabak Covid-19 tidak melanda dunia, adakah kita mampu menjadi manusia yang tahu menghargai nikmat kebebasan fizikal yang telah hilang ini?
Bagi generasi tua, nilai merdeka mungkin lebih dihayati kerana mereka telah melalui fasa menentang penjajah untuk mencapai kemerdekaan negara. Nilai kemerdekaan itu dapat dilihat dalam semangat cintakan tanah air atas kejayaan pembentukan negara ini yang bebas daripada cengkaman penjajah asing. Namun, berbeza pula dengan generasi muda hari ini. Rata-rata mungkin lebih melihat nilai kemerdekaan itu hilang lantaran kebebasan mereka diragut oleh pandemik Covid-19. Mereka tidak dapat bertemu ibu bapa di kampung halaman untuk satu tempoh masa yang lama. Bagi golongan pelajar pula, kebebasan untuk menuntut ilmu dalam ruang bilik darjah dan berinteraksi secara bersemuka dengan guru telah hilang. Bagaimana pula dengan anak-anak kecil yang sedang menghadapi tempoh perkembangan dan tumbesaran? Mereka seharusnya menghirup udara yang nyaman dan berlari bebas meneroka dunia luar. Sebaliknya, mereka terpaksa pula berkurung di dalam rumah sahaja.
Walaupun perkataan merdeka lazimnya berkait rapat dengan kebebasan fizikal, tetapi ia juga boleh dikaitkan dengan kebebasan dalam bentuk lain. Merdeka juga boleh dilihat dari sudut membebaskan minda daripada terus terhimpit dalam pemikiran yang sempit. Sikap berfikiran rasional dan menerima kepelbagaian pandangan secara terbuka tanpa mengetepikan norma masyarakat merupakan satu bentuk kemerdekaan yang lain. Munculnya wabak Covid-19 memperlihatkan kepesatan pembangunan era teknologi yang mana hampir kesemua maklumat boleh diakses di hujung jari sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat perlu menjadi lebih bijak dalam menilai kesahihan maklumat agar pemikiran mereka tidak terjajah oleh anasir luar yang negatif.
Di sebalik pelbagai kesukaran dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini, seharusnya kita bersyukur kerana masih mampu hidup dalam suasana yang harmoni dan aman damai. Jika dibandingkan dengan negara saudara se-Islam kita di Palestin yang sentiasa di ambang peperangan, bukankah rakyat di negara Malaysia ini jauh lebih beruntung? Tatkala kita berasa kecewa atau marah kerana kewujudan pelbagai sekatan dalam fasa PKP ini, pandanglah dunia sekeliling untuk seketika. Nescaya kita akan sedar bahawa halangan ini cuma bersifat sementara. Dalam erti kata lain, kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi oleh tanah air ini adalah suatu yang lebih bermakna dan diidamkan oleh negara lain yang berada dalam situasi peperangan.
Menelusuri nilai kemerdekaan pada hari ini, seluruh rakyat Malaysia bersama barisan hadapan negara seharusnya bersatu padu dalam mencapai matlamat untuk memerdekakan negara ini daripada wabak Covid-19. Seluruh masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat mahupun latar belakang bangsa sewajarnya mengetepikan dahulu kepentingan peribadi dan menjaga antara satu sama lain dalam tempoh pandemik ini. Hal ini sejajar dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin.’ Semoga pada saat pandemik ini berakhir, kita mampu menoleh ke belakang dan merefleksi diri, seterusnya lebih memahami hakikat kemerdekaan yang sebenar.
Farhana Abd Hamid
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)