Oleh Farah Azwa Mat Tiya, Bhuvarhysie A/L Kandasamy, Ananthakrishna A/L Karvannan
“Saya menyeru kepada semua penuntut universiti ini menyertai badan profesional seperti Institution of Engineers Malaysia (IEM) setelah bergelar graduan untuk membina lebih banyak rangkaian yang membolehkan mereka mengenali jurutera di sektor awam dan swasta seluruh Malaysia.
“Dengan menjadi ahli IEM, seseorang itu akan memperolehi banyak manfaat yang mana mereka akan didedahkan dengan kursus-kursus profesional serta berpeluang mendapat pengiktirafan dalam pengalaman bidang kejuruteraan dan pencapaian professional,” kata Ts. Ramesh A/L Sabapathy, penceramah program Webinar bertajuk “Ins And Outs of Aviation” yang dianjurkan pada 8 Ogos 2021 lalu.
Nama beliau tidak asing lagi dalam industri penerbangan Malaysia kerana beliau merupakan seorang Licensed Aircraft Maintenance Engineer (LAME) di salah sebuah syarikat penerbangan komersial iaitu Malaysia Airline Berhad (MAB).
Pengalaman bekerja selama 33 tahun dalam bidang aeronautik telah menjadikan Ts. Ramesh sebagai seorang yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan tinggi dalam bidang yang diceburinya.
Penganjuran webinar ini merupakan inisiatif antara Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), IEM, Asia Aeronautical Training Academy (AATA), Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV) dan Kelab Aeronautik UTHM untuk memberikan pendedahan kepada penuntut UTHM tentang situasi sebenar yang harus ditempuhi oleh para graduan di alam pekerjaan.
Melalui webinar itu, Ts. Ramesh telah berkongsi enam rahsia yang menurutnya boleh diaplikasikan dalam kehidupan untuk menjadi seorang individu yang berjaya.
Antaranya, beliau menyeru kepada semua mahasiswa untuk selalu berfikiran luas serta lebih rasional dalam melakukan setiap perkara sekali gus menetapkan visi dalam diri masing-masing.
Tambah beliau, mahasiswa seharusnya berjiwa cekal dan kekalkan semangat di samping mengabaikan segala anasir negatif yang cuba menjatuhkan semangat mereka.
“Kejayaan tidak akan datang secara bergolek tanpa sebarang usaha, saya amat percaya bahawa tiada jalan yang mudah bagi seseorang untuk berjaya kecuali dengan berusaha bersungguh-sungguh.
“Saya juga ingat menyeru kepada semua, sentiasalah berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja dan di mana jua.
“Saya sudah 33 tahun berkecimpung dalam bidang penerbangan dan tetap berkongsi ilmu sehingga ke hari ini kerana saya percaya orang lain juga akan dapat memanfaatkan ilmu yang telah kita kongsikan.
Beliau dalam ceramahnya juga sempat berpesan supaya tidak lupa berbakti kepada masyarakat walau berada di posisi manapun selepas bergraduat nanti.
Pasaran kerja yang kian mencabar telah menuntut graduan persiapkan diri mereka untuk menjadi yang terbaik. Penganjuran webinar seumpama ini diharap mampu memberi ilmu pengetahuan yang baharu kepada peserta.