Susah tak bahasa Arab?

Boleh atau tidak berjaya belajar bahasa Arab?

Persoalan ini sentiasa akan bermain di minda individu yang ingin mempelajari bahasa Arab. Jika kita ingin mempelajari sesuatu yang baharu, marilah kita bermula di garis permulaannya. Seronok jika kita dapat menguasai bahasa Arab walaupun dengan mempelajari asasnya sahaja. Mungkin akan datang ia akan membawa kita ke peringkat seterusnya. Kita akan rasa seronok membaca al Quran dan faham maksud perkataan yang ada di dalamnya walaupun hanya sebahagian perkataan. Bahasa Arab juga boleh menjadi bahasa ketiga dalam kehidupan jika kita berminat mempelajari  dan menguasai bahasa al Quran ini.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Yusuf ayat 2 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya (surah Yusuf ayat 2).

Kadang kala bila kita cuba mempelajari sesuatu yang baharu kita akan rasa sukar. Sesuatu yang tidak biasa kita buat tentu sahaja asing pada kita. Tetapi, jika kena gaya dan rentaknya, dengan izin Allah ianya akan bertukar menjadi mudah. Bagaimana caranya? Sebagai permulaan, jom kita cuba cara ini.

Niat 

Tetapkan niat mempelajari bahasa Arab kerana Allah. Ini adalah kerana menuntut ilmu itu adalah salah satu perkara yang baik. Tetapkan niat kita dengan jelas kerana Allah, in shaa Allah, Dia akan permudahkan urusan kita. Tanpa niat yang jelas, kita mungkin sukar untuk capai apa yang kita mahukan.

Luang masa 10 minit sehari ulangkaji 

Bila kita baru mula belajar bahasa Arab, formula 10 minit daripada 24 jam sangat penting. Jangan pernah tinggalkan langkah ini. 10 minit tersebut fokus kepada satu aktiviti sahaja. Sebagai contoh jika hari ini kita memilih aktiviti menulis ayat mudah bahasa Arab, maka esok kita lakukan aktiviti lain contohnya membaca teks bahasa Arab atau menghafal kosa kata bahasa Arab.

Lima hingga 10 perkataan sehari

Kita mula dengan mengingati paling sedikit lima perkataan bahasa Arab sehari. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama – lama jadi bukit. Cuba bayangkan kita mula dengan kosong, jika kita ingat lima perkataan bahasa Arab satu hari, sebulan kita dapat ingat 150 perkataan. Cukup untuk kita ke peringkat seterusnya. Untuk lebih mudah, hafal perkataan mengikut tema atau jenis perkataan contoh kata nama, kata kerja dan kata sendi. Gunakan nyanyian untuk lebih mudah mengingat dan menarik serta tidak bosan.

Asas tatabahasa

Cari guru kemudian mula belajar asas tatabahasa Arab untuk peringkat permulaan. Contohnya kenali jenis-jenis perkataan bahasa Arab, kata ganti nama bahasa Arab dan jenis-jenis kata kerja. Kita akan lebih yakin menggunakan bahasa yang kita pelajari apabila kita mengetahui asas tatabahasa bahasa tersebut. Walaupun belum sempurna tapi sekurang-kurangnya kita cuba menggunakan bahasa tersebut dengan asas tatabahasa yang betul.

Pelajari ayat yang mudah dahulu

Setelah kita mengingati kosa kata, kenali asas tatabahasa bahasa Arab, jangan takut untuk ke peringkat yang seterusnya iaitu membina ayat-ayat bahasa Arab yang mudah. Susun ayat asas kita dengan menulis siapa pelakunya, apa perbuatan yang dilakukan, di mana atau dengan siapa dilakukan perbuatan tersebut. Sebagai contoh:

Ana + adzhabu + ila al-fasli

Saya + pergi + ke kelas.

Peringkat permulaan ini mulakan dengan ayat mudah dan pendek, lama kelamaan kita akan yakin untuk menggunakan ayat yang lebih panjang dan kompleks.

Baca buku cerita bahasa Arab 

Wah pada peringkat permulaan sudah baca buku cerita bahasa Arab? Boleh fahamkah? Macam mustahil bukan? Sebagai permulaan cari buku cerita bahasa Arab yang mudah dan mempunyai baris. Contohnya buku cerita bahasa Arab kanak-kanak. Ayat ringkas, gambar lebih banyak memenuhi ruang halaman muka surat buku. Ianya sangat membantu di samping kita dapat tambah kosa kata bahasa Arab, ia akan membiasakan kita dengan contoh-contoh ayat asas serta menambah minat kita membaca. Selain itu, jadikan kamus sebagai teman baik kita ketika ini. Sentiasa rujuk kamus untuk perkataan baharu yang kita jumpa. Cuba bayangkan jika kita memilih buku yang tebal, tanpa baris, ayat panjang-panjang di waktu kita sedang baru mula mengenal bahasa Arab mungkin setelah kita buka buku tersebut, serta merta kita tutup dan letakkan kembali ianya di rak bukan? Bukan tidak boleh pilih buku begini, tetapi di peringkat permulaan ianya kurang sesuai.

Practice make perfect

Orang selalu kata practice make perfect. Ya, kita perlu selalu berlatih menggunakan ilmu asas yang kita ada supaya dari hari ke hari ianya membuatkan ilmu tersebut lebih sempurna. Cari cermin dan cuba bercakap menggunakan bahasa Arab di hadapan cermin. Kita juga boleh menggunakan contoh-contoh perbualan  harian bahasa Arab yang ada dalam buku-buku di pasaran. Kalau anda yakin, boleh juga gunakan ilmu asas bahasa Arab ini dengan bertutur secara ringkas bersama orang-orang Arab yang telah menetap di negara kita. Walaupun mungkin anda bertutur menggunakan ayat yang ringkas atau mungkin anda campurkan penggunaan bahasa Inggeris, Melayu dan Arab ketika anda bercakap, tahniah, ianya merupakan permulaan yang sangat baik..

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)