Melancong ke tempat yang cantik dan memukau memang menjadi impian ramai orang.  Dengan kecantikan dan kepelbagaian hidupan laut, Pulau Redang dan Pulau Sipadan sentiasa  menjadi destinasi pelancong dari dalam dan luar  negara. Malah ramai pelancong luar melawat Sabah dan Sarawak hanya kerana mahu melihat fizikal dan telatah orang hutan dan monyet belanda.  Antelope Canyon, Amerika Syarikat yang merupakan kawasan berbatu dengan rupa bentuk unik dan hamparan warna warni bunga tulip di Keukenhof, Belanda sentiasa menjadi destinasi utama pelancongan. Inilah bukti betapa manusia sentiasa menyenangi sesuatu yang cantik dan semula jadi.

Tidak dinafikan kecantikan unsur semula jadi seperti  batuan,  sungai,  hutan,  malah salji telah memberikan rasa tenang,  tenteram dan nyaman kepada manusia. Malah unsur semulajadi ini turut mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Taman Negara Gua Mulu dan Taman Negara Kinabalu telah disenaraikan sebagai  Warisan Dunia, UNESCO pada tahun 2002. Malah, Gua Niah dan Taman Negara yang melibatkan Pahang-Terengganu-Kelantan merupakan tentative list bagi Warisan Dunia, UNESCO. Taman Negara menerima pegunjung bukan hanya untuk mendaki Gunung Tahan. Pelbagai aktiviti turut dijalankan oleh pengunjung seperti kembara gua, eksplorasi sungai, pemerhatian burung, ekplorasi hutan termasuk lawatan ke santuari Kelah dan lawatan ke penempatan orang asli.

Program Manusia dan Biosfera (MAB) telah dilancarkan oleh UNESCO pada tahun 1971. Malaysia telah membuat penyertaan sulung MAB pada tahun 2009, dengan mencalonkan  Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia. Tenyata, pencalonan ini tidak sia-sia, Tasik Chini telah diwartakan sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia pada 26 Mei 2009. Selanjutnya pada 12 Jun 2014, Banjaran Crocker, Sabah telah diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera kedua di Malaysia.

Cadangan pembangunan atau perladangan di kawasan berhampiran  tapak warisan dunia atau tapak rizab biosphere UNESCO boleh diusulkan dan dilaksanakan setelah menepati syarat-syarat tertentu. Aktiviti perladangan berhampiran Taman Negara Gua Mulu telah mendapat reaksi negatif daripada orang awam. Namun, melalui penguatkuasaan peraturan sedia ada, tadbir urus yang baik dan pemantauan yang berterusan, aktiviti perladangan tersebut sama sekali tidak mencemar atau merosakkan Taman Negara Gua Mulu.

Mulai  Mac 2019, Taman Negeri Tasik Chini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini. Ini menunjukkan inisiatif yang baik bagi memelihara Tasik Chini.  Malah, sejak 2009 Tasik Chini adalah tapak rizab biosphera UNESCO. Namun, interpretasi daripada kedua-dua pewartaan  ini seolahnya  tidak difahami oleh orang ramai. Buktinya, pemegang pajakan dan operator aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini telah bertindak sewenang-wenangnya hingga ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan aktiviti perlombongan telah berlaku.  Mungkin, kerana kurang peduli mereka tidak cakna tentang implikasi sebalik  pengiktirafan Tasik Chini oleh UNESCO. Arahan berhenti kerja serta merta kepada kesemua pemegang pajakan dan operator aktiviti perlombongan terbabit oleh Pejabat Tanah dan Galian, Pahang adalah sesuatu yang tepat.  Tindakan ini membantu mengelakkan alam sekitar kawasan tersebut daripada terjejas lebih teruk sekali gus menunjukkan kefahaman bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.  Sungguhpun begitu, banyak lagi usaha perlu dibuat bagi memastikan Tasik Chini kekal sebagai tapak  rizab biosphera UNESCO. Tanpa strategi yang tepat, status istimewa tasik Chini ini mungkin gagal dikekalkan.

 

–Tasik Chini adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia.

 Kepelbagaian flora dan fauna yang kaya , iaitu sebanyak 51 spesies tumbuhan jenis hutan rendah, 15 spesies tumbuhan jenis hutan paya air tawar, 25 spesies tumbuhan akuatik dan 87 spesies ikan air tawar.

 Kompleksnya ekosistem Tasik Chini menjadikannya aset yang tidak terhingga dalam aspek estatika, warisan, sosioekonomi, ekopelancongan dan kepentingan ekologi

 Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia–

 

Pada masa hadapan, reaksi semua pihak atau warga Malaysia perlulah sama terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar. Bagaimana? Lebih banyak sebaran maklumat dibuat.  Tidak terhad kepada laman sesawang organisasi berkaitan sahaja. Malah televisyen perlu digunakan sebagai medium utama sebaran maklumat. Setiap warga Malaysia perlu maklum tentang pengiktirafan sesuatu badan dunia seperti UNESCO kepada alam semula jadi Malaysia. Elemen istimewa alam semula jadi Malaysia yang menatijahkan pengiktirafan tersebut perlu juga didedahkan. Ini membantu warga Malaysia menyedari keunikan alam sekitar milik negara yang mungkin tidak banyak negara lain miliki. Maka, secara tidak langsung, rasa bangga akan berputik selanjutnya melahirkan iltizam yang tepat untuk  memelihara keunikan alam sekitar ini.

Pihak bertanggungjawab perlu menerangkan kepada warga Malaysia sama ada individu mahupun organisasi (termasuk pihak industri/perusahaan) bagaimana akta-akta yang berkaitan dengan alam sekitar digunakan di Malaysia. Selain akta, dasar baru berkaitan komponen alam sekitar juga mesti diterangkan. Dengan penerangan ini, akan wujud keyakinan dalam kalangan warga Malaysia terhadap keseriusan negara menjaga alam sekitar. Sudah pastilah keseriusan negara bermaksud semua pihak perlu berperanan menggerakkan dasar dan mematuhi akta.  Dengan semua pihak menjalankan peranan masing-masing pastilah pengiktirafan ini boleh berkekalan.

Selain itu, pakej lawatan khas ke tapak alam sekitar yang diiktiraf UNESCO perlu disediakan terutamanya bagi pelajar sekolah dan universiti. Ini kerana mereka adalah generasi baru yang perlu mengekalkan pengiktirafan tersebut sekali gus menurunkan tanggungjawab ini kepada generasi selepas mereka. Jadi, sewajarnya mereka diberi peluang mencerap maklumat langsung dari tapak tersebut. Mereka juga adalah saksi hidup bagi segala kecantikan dan keunikan tapak tersebut. Pengalaman indah semasa berada ditapak tersebut, pastinya mereka mahu ianya dirasai oleh orang lain juga. Untuk ini, pakej lawatan pelajar sekolah dan universiti perlulah dirangka kandungannya, lebih baik lagi jika kandungannya melibatkan pembelajaran berterusan.  Penglibatan komuniti korporat adalah digalakkan sebagai tuntutan memenuhi tanggungjawab khidmat masyarakat.

Semoga Tasik Chini menjadi pencetus kepada semua warga Malaysia untuk mempelajari dan memahami peranan alam sekitar kepada manusia. Hanya dengan kefahaman  tersebut, kita akan rasa sangat bersyukur kerana Malaysia mempunyai pelbagai komponen alam semula jadi. Ketika itu, walaupun tidak semua komponen alam sekitar di Malaysia menerima pengiktirafan badan dunia, kita tetap bertuah kerana kita masih boleh bergantung harap dengan alam sekitar negara untuk pelbagai tujuan.

 

Ts. Dr Roslinda Seswoya

Pensyarah Kanan

Micro Pollutant Research Centre

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)