Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melangkah ke hadapan sebagai salah satu institusi yang berdiri dengan keunikannya tersendiri. Pimpinan silih berganti namun pastinya mendukung satu pegangan yang sama, visi dan misi universiti. Anugerah kecemerlangan, penarafan lima bintang QS oleh Quacquarelli Symonds (QS) yang diterima baru-baru ini menjadi satu kebanggaan seluruh warga universiti. Pengiktirafan seumpama itu menjadi satu bukti kualiti dalam arena antarabangsa, selari dengan usaha ke arah universiti bertaraf dunia.

Nisbah pelajar antarabangsa kepada pelajar tempatan, bilangan staf antarabangsa, mobiliti antarabangsa dan hubungan antarabangsa merupakan teras yang harus diperkasa bagi menjamin penarafan pengantarabangsaan yang merupakan salah satu dari lapan kriteria yang dinilai dalam penarafan QS.

Peningkatan unjuran pengambilan pelajar tempatan setiap tahun hasil penambahan pelbagai program baharu akademik memberi gambaran cabaran yang lebih besar bakal dipikul oleh warga universiti dalam usaha ke arah pengantarabangsaan yang lebih baik. Gandaan usaha mendapatkan pelajar antarabangsa perlulah selari bagi memastikan nisbah pelajar antarabangsa kepada pelajar tempatan dapat terus dipertingkatkan.

Penerimaan warga fakulti dilihat positif apabila jumlah program pra-siswazah yang dibuka bagi pengambilan pelajar antarabangsa dilihat semakin meningkat. Statistik menunjukkan keadaan peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa yang lebih baik diperolehi dari tahun ke tahun.

Peningkatan mendadak lebih daripada 100 peratus bagi kemasukan pelajar antarabangsa sarjana muda dapat dilihat pada akhir tahun 2020 hasil pelaksanaan pelbagai strategi pemasaran, penjenamaan dan juga penambahbaikan sistem sokongan universiti.

Di sisi yang berbeza, hal ini menuntut keperluan untuk memperkemaskan lagi pengantarabangsaan staf di fakulti dalam persediaan menghadapi arus pengantarabangsaan yang semakin berkembang. Usaha ini adalah penting bagi memastikan peningkatan bilangan pelajar antarabangsa pra-siswazah.

Usah berpaling kepada sejarah lima tahun lalu dengan catatan pelajar antarabangsa pra-siswazah hanya sekadar pada angka lima kali ganda lebih kecil berbanding pelajar antarabangsa program sarjana. Statistik akhir tahun 2020 perlu diperhatikan bahawa kini jumlah pelajar antarabangsa bagi kedua-dua tahap pengajian ini mencatatkan nilaian statistik yang hampir sama. Alaminya berbeza, pra-siswazah lebih dekat dengan pensyarah melalui kuliah-kuliah yang diikuti, menjadikan keperluan kesediaan pensyarah dalam penyampaian kuliah dalam bahasa asing menjadi semakin mendesak.

Terdapat beberapa program yang kini dilihat mempunyai permintaan antarabangsa dengan jumlah yang sangat ketara berbanding program-program lain di UTHM. Penyediaan sistem sokongan yang lebih baik boleh dijadikan wadah penghargaan kepada fakulti-fakulti yang menanggung beban pelajar antarabangsa yang sangat tinggi. Ini adalah perlu bagi membantu fakulti bagi penyediaan tempat yang lebih banyak untuk menampung permintaan antarabangsa.

Pemahaman kepentingan pengantarabangsaan perlu dipupuk dalam kalangan warga universiti. Warganya perlu bersikap terbuka dan saling membantu pelajar antarabangsa di kampus agar mereka dapat mencoret kenangan indah untuk diceritakan kepada dunia, yang sekali gus dapat menjadi modal kepada promosi universiti.

 

 

Dr. Mohammad Zulafif Rahim

Ketua Jabatan Penjenamaan dan Promosi

Pejabat Antarabangsa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)