Kini dunia dikejutkan dengan penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan. Bukan itu sahaja, malah pelbagai bencana alam dan musibah lain yang turut melanda seluruh dunia termasuklah banjir, tanah runtuh, gempa bumi, kebakaran hutan, letusan gunung berapi dan ribut salji.
Akibat daripada bencana alam yang pastinya berlaku di luar kawalan manusia ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada aspek sosial, alam sekitar dan juga ekonomi sesebuah negara. Kebanyakan aktiviti-aktiviti manusia juga terjejas dan keadaan alam sekitar yang tercemar semakin tidak terkawal. Malahan situasi ini juga telah menjejaskan kepada pertumbuhan ekonomi semasa di peringkat global.
Di Malaysia, musibah yang melanda dapat dilihat dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat saban hari. Kebimbangan bahaya COVID-19 yang hampir setahun melanda dunia semakin ketara di mana angka rakyat Malaysia yang disahkan positif telah mencecah keempat angka setiap hari dan yang tertinggi setakat ini ialah lebih 4000.
Keadaan bertambah semakin kritikal apabila negara dilanda musibah seperti banjir besar di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan yang terkini di Sarawak.
Lantaran daripada kejadian ini, pelbagai masalah-masalah lain turut berlaku. Antaranya kejadian tanah runtuh yang telah memutuskan laluan untuk berhubung, bekalan elektrik terputus dan menyebabkan beberapa kawasan terpaksa bergelap, terputus bekalan makanan di beberapa kawasan pendalaman dan juga beberapa penduduk tidak dapat keluar untuk bekerja.
Pelbagai bantuan kecemasan kepada mereka yang terjejas telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang terdiri daripada badan kerajaan, organisasi bukan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, dan individu termasuklah sukarelawan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Solidariti dan semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam menghulurkan bantuan tanpa mengira agama, bangsa, fahaman politik dan latar belakang harus diberi pujian.
Dalam menangani dan berdepan dengan musibah ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan kesan daripada bencana alam ini dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh. Baru-baru ini kerajaan telah melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) untuk tempoh dua minggu sebagai usaha bagi mengekang penyebaran virus COVID19 terus meningkat.
Apa yang jelas, dengan berkuat kuasanya arahan PKP 2.0 maka bermulalah sekatan-sekatan, limitasi dan juga peraturan-peraturan tertentu. Hal ini juga secara langsung atau tidak langsung telah memberi kesan negatif kepada sesetengah pihak. Terdapat segelintir masyarakat yang mengeluh apabila arahan PKP 2.0 ini dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Sekatan ini dilihat merumitkan kepada sebilangan individu yang mana mereka tidak dapat menjalankan operasi servis, perniagaan atau bekerja sepertimana sebelum arahan PKP 2.0 dikeluarkan. Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pemendekan masa pengoperasian, pengurangan bilangan pekerja yang bekerja di sesebuah pejabat iaitu dihadkan kepada 30 peratus dalam sehari, limitasi radius pergerakan hanya dalam jarak 10 km sahaja dan juga had bilangan individu dalam sesebuah kenderaan kepada dua orang sahaja merupakan usaha kerajaan ke arah pengurangan musibah ini.
Walaupun kerajaan telah melancarkan pelbagai bantuan dana untuk syarikat meneruskan operasi, namun dengan amalan normal baharu ini ada syarikat-syarikat yang terpaksa berdepan dengan situasi “gulung tikar”. Keadaan menjadi sukar lagi apabila beberapa syarikat yang terpaksa mengurangkan bilangan pekerja demi untuk mengurangkan kos pengoperasian. Antara syarikat yang terjejas kebanyakannya berteraskan pelancongan, perkhidmatan, pembinaan, pengeluaran dan pendidikan.
Melihat kepada situasi ini, beberapa persoalan yang perlu difikirkan oleh ahli akademik yang juga dikenali sebagai cendekiawan. Antara persoalannya, bagaimanakah kepakaran yang dimiliki oleh para cendekiawan tempatan dapat membantu meringankan beban masyarakat yang terjejas? Apakah pendekatan terbaik untuk membantu masyarakat yang terjejas bagi jangka masa pendek mahupun tempoh jangka masa panjang?
Persoalan ini boleh difikirkan dan dilihat dari pelbagai sudut pandang. Sesuatu tindakan ke arah membantu masyarakat bukan hanya untuk meningkatkan keterlihatan (visibility) seseorang ahli akademik mahupun institusi semata-mata, namun apa yang penting sejauh mana kesesuaian (suitability) dan praktikal (practicality) bantuan yang ingin diberikan.
Kepakaran ahli akademik tempatan tidak perlu dipersoalkan lagi. Hal ini jelas dengan adanya pengiktirafan dan kejayaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam mencipta dan membangunkan pelbagai produk inovasi dan penemuan-penemuan idea baharu. Kajian-kajian berteraskan pelbagai kluster termasuklah perubatan, kejuruteraan, teknologi, mahupun sains sosial semestinya mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.
Dalam mendekatkan jurang antara ahli akademik dan masyarakat terutama dari aspek perkongsian dan pemindahan ilmu ini, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ia penting bagi menterjemahkan kepakaran masing-masing dengan jelas agar dapat dinikmati oleh komuniti secara menyeluruh.
Selari dengan hal ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dana penyelidikan. Baru-baru ini, pada tanggal 8 Januari 2021 menjadi detik manis kepada ahli akademik mahupun penyelidik negara kerana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan beberapa geran penyelidikan melalui Malaysia Grand Challenge (MGC).
Bantuan dana penyelidikan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk ahli akademik berganding bahu dengan pihak industri dalam mengarusperdanakan bidang sains, teknologi dan inovasi. Usaha ini sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Terdapat lima skim Dana Pembiayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tersebut yang mana ia merangkumi spektrum tahap kesediaan teknologi (TRL). Antaranya ialah Dana Penyelidikan Strategik (SRF), Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1), Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2), Dana Bridging (BGF) dan Dana Applied Innovation (AIF).
Tambahan dari itu, kebanyakan universiti tempatan mahupun luar negara turut menubuhkan pusat-pusat penyelidikan dan kumpulan fokus bagi memperkasakan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan inovasi. Misalnya di University of Melbourne, terdapat beberapa pusat penyelidikan yang signifikan peranannya seperti The Australian Centre for Architectural History, Urban and Cultural Heritage (ACAHUCH), Australian Urban Research Infrastructure Network (AURIN) dan Melbourne Sustainable Society Institute (MSSI).
Begitu juga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang tidak kurang hebatnya. Usaha penubuhan beberapa pusat penyelidikan dan kumpulan fokus untuk ahli akademik dan penyelidik ‘bertapa’ mengembangkan bidang tujah yang berteraskan Teknologi dan Pengangkutan Lestari (Sustainable Technology and Transportation) sangat dipandang serius.
Selain itu, perkongsian dan pemindahan ilmu dalam kalangan ahli akademik tidak hanya terbatas melalui hasil rekaan, ciptaan dan penemuan baharu sahaja. Malah bantuan kepada masyarakat juga boleh disampaikan dalam bentuk perlaksanaan sesi perkongsian ilmu.
Amalan perkongsian ilmu yang biasanya dilaksanakan secara bersemuka (face-to-face) telah berubah kepada amalan normal baharu secara dalam talian (non face-to-face). Walaupun keadaan agak terbatas dengan adanya arahan PKP 2.0, namun usaha murni yang bukan sahaja menjadi sasaran utama universiti, malah ia juga sebagai salah satu aktiviti yang menjadi teras utama dalam menghubungkan pakar-pakar, ahli-ahli akademik, ahli profesional di peringkat kebangsaan mahupun global dengan masyarakat.
Proses perkongsian ilmu berubah secara drastik kesan daripada pandemik COVID19 ini. Pelbagai kaedah perkongsian ilmu diperkenalkan secara inovatif, kreatif dan efektif melalui pendekatan secara digital. Peningkatan kewujudan aplikasi-aplikasi teknologi terkini ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan” seperti whatsapp, telegram, instagram, youtube, facebook, zoom, google meet, team, webex dan pelbagai lagi menjadikan maklumat ilmiah dapat disampaikan lebih mudah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Antara aktiviti-aktiviti perkongsian ilmu yang boleh diteruskan walaupun tanpa bersemuka adalah seperti webinar, forum, kolokium dan sembang santai secara atas talian. Pendekatan yang kian mendapat tempat dalam kalangan ahli akademik ini dianggap tindakan yang bijak untuk menyebarluaskan kepakaran kepada komuniti dalam menjalani kehidupan yang kian mencabar dengan pelbagai limitasi dan SOP.
Kupasan pelbagai topik yang menarik dan sesuai dengan situasi dan kehendak terkini dilihat mampu menarik perhatian dalam usaha mendidik komuniti secara atas talian. Apa yang penting ahli akademik perlu bijak mengambil peluang untuk membantu komuniti dengan memperkasakan lagi program-program perkongsian ilmu secara talian dengan konsisten dalam memastikan masyarakat di luar sana tidak keciciran.
Sokongan padu perlu diberikan kepada universiti-universiti yang merupakan lubuk kelahiran ahli fikir yang dibentuk daripada pelbagai universiti hebat dunia. Bukan itu sahaja, ahli akademik juga perlu sentiasa ‘membuka mata’ dan ‘memasang telinga’ agar lebih bersedia dan lebih kreatif dalam membangunkan idea-idea baharu demi memenuhi keperluan masa kini. Musibah yang berlaku pastinya tidak akan berakhir dalam sekelip mata. Oleh itu, apa yang perlu difikirkan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kesan akibat musibah yang berlaku dengan lebih efektif pada masa kini dan akan datang.
Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Penyelidik Utama Kumpulan Fokus (Sustainable Ifrastructure Management)
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan),
Fakukti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM
Kredit Featured Image : uml.edu