
Isu kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas di Malaysia bukanlah perkara baharu. Malah, ia kini menjadi antara penyumbang utama kepada statistik kemalangan maut di negara ini. Kemalangan tragis yang melibatkan kenderaan bersaiz besar sering meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Persoalannya, mengapa masalah ini terus berlarutan? Bulan Mei yang lepas, negara baru sahaja berdukacita dengan tragedi nahas jalan raya melibatkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut sembilan nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan negara. Dan kini, kemalangan bas ekspres yang membawa empat puluh empat mahasiswa UPSI untuk pulang ke kampus selepas cuti hari raya haji pula berlaku. Kemalangan ngeri yang berlaku di Gerik, Perak pada pagi 9 Jun 2025 bukan sahaja meragut nyawa lima belas nyawa mahasiswa malah mengundang semula kenangan tragis dalam sejarah nahas jalan raya di Malaysia. Situasi ini membangkitkan persoalan yang lebih besar – sejauh mana keselamatan jalan raya di Malaysia benar-benar terjamin, terutama apabila membabitkan kenderaan berat?
Kemalangan jalan raya yang melibatkan bas sering kali mengundang perhatian masyarakat, terutamanya apabila ia melibatkan kehilangan nyawa secara besar-besaran. Data sejarah menunjukkan bahawa Malaysia telah mencatatkan beberapa insiden kemalangan maut membabitkan bas sejak beberapa dekad lalu, mencerminkan isu keselamatan yang berulang dan perlu ditangani secara serius.
Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan kemalangan melibatkan bas seperti yang sering berlaku di jalan raya negara, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik. Pertama sekali, penguatkuasaan terhadap aspek teknikal dan operasi kenderaan awam perlu diperketatkan. Bas yang membawa penumpang dalam jumlah yang besar harus sentiasa berada dalam keadaan terbaik dari segi brek, tayar, lampu dan kestabilan struktur. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom perlu bekerjsama menjalankan pemeriksaan teknikal secara berkala, khususnya terhadap bas ekspres dan bas pelancongan yang melibatkan perjalanan jarak jauh.
Setiap syarikat pengangkutan awam wajar diwajibkan menjalani audit keselamatan berkala bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi kejuruteraan dan peraturan lalu lintas jalan raya. Di samping itu, penambahbaikan polisi penting seperti mewajibkan pelaksanaan sistem pengurusan fleet (fleet management) yang komprehensif harus dilaksanakan di peringkat nasional. Sistem ini bukan sahaja membolehkan pemantauan prestasi kenderaan dan pemandu secara masa nyata, malah boleh mengesan corak pemanduan berisiko tinggi melalui teknologi seperti GPS, telematik, sensor kestabilan dan brek kecemasan automatik. Memandangkan Malaysia kini semakin maju dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sudah tiba masanya teknologi ini diintegrasikan secara menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam. Melalui AI, data operasi kenderaan dan tingkah laku pemandu dapat dianalisis secara pintar untuk meramalkan risiko kegagalan sistem, mengesan tabiat pemanduan agresif, serta mencadangkan langkah-langkah intervensi lebih awal bagi mencegah kemalangan sebelum ia berlaku.
Satu aspek penting yang sering diabaikan adalah pematuhan terhadap penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance). Syarikat pengangkutan perlu memastikan setiap bas menjalani pemeriksaan berkala dan diselenggara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh MIROS dan JPJ. Penyelenggaraan ini harus meliputi sistem brek, sistem stereng, tayar, lampu dan komponen keselamatan lain. Sebaliknya, penyelenggaraan pembetulan (corrective maintenance) perlu dilaksanakan segera apabila berlaku sebarang kerosakan atau kegagalan sistem demi memastikan keselamatan tidak dikompromi.
Pemandu bas juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain. Oleh itu, mereka perlu mengikuti latihan pemanduan defensif (defensive driving) dan kursus khas berkaitan pengendalian kenderaan besar dalam situasi kecemasan. Latihan ini seharusnya dijadikan sebahagian daripada syarat pembaharuan lesen vokasional (GDL/PSV) dan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan tahap kompetensi pemandu kekal tinggi. Pensijilan semula juga boleh menjadi satu mekanisme kawalan mutu terhadap kecekapan pengendalian bas. Selain itu, penjadualan laluan dan waktu operasi bas perlu dikaji semula, terutamanya bagi laluan yang berisiko tinggi seperti kawasan berbukit, selekoh tajam, dan lebuh raya sesak. Perancangan ini penting untuk mengelakkan pertindihan antara operasi bas dan waktu puncak kenderaan lain serta bagi memastikan pemandu tidak keletihan akibat tekanan jadual ketat.
Akhir sekali, kerjasama antara agensi seperti PDRM, JPJ, MIROS, dan pengendali pengangkutan awam perlu diperkukuh dalam menyusun semula garis panduan keselamatan bas di Malaysia. Pelaksanaan audit forensik pasca kemalangan, latihan pengurusan risiko, serta platform aduan awam perlu menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan jalan raya yang mampan dan menyeluruh.
Syarikat-syarikat pengangkutan di Malaysia sewajarnya menyedari bahawa pelaburan dalam sektor ini tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek keselesaan penumpang semata-mata demi meraih keuntungan. Realitinya, keselamatan penumpang adalah nilai utama yang perlu diberikan perhatian setara, malah lebih utama kerana ia melibatkan nyawa manusia. Tidak cukup sekadar menyediakan tempat duduk empuk, penghawa dingin atau sistem hiburan jika aspek seperti penyelenggaraan kenderaan, latihan pemandu dan pematuhan standard keselamatan diabaikan. Pelaburan jangka panjang dalam teknologi pemantauan seperti fleet management system, latihan pemanduan berhemah, serta audit keselamatan berkala bukan sahaja dapat mencegah tragedi, malah meningkatkan kepercayaan awam terhadap perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam erti kata lain, keselamatan ialah asas sebenar kepada kelestarian keuntungan dalam industri pengangkutan. Setiap tragedi yang berlaku seharusnya menjadi pencetus kepada perubahan dasar dan tindakan serius, bukan sekadar catatan duka dalam sejarah keselamatan negara. Kehilangan nyawa, terutamanya apabila melibatkan penumpang awam. Mereka harus dilindungi melalui dasar yang menyeluruh, latihan yang mencukupi dan pematuhan ketat terhadap standard keselamatan di jalan raya.
Info tambahan: Berikut ialah jadual yang memaparkan senarai kemalangan maut melibatkan bas yang pernah direkodkan di Malaysia.
Tarikh | Lokasi | Butiran Kejadian | Jumlah Mangsa Maut | Cedera |
9 Jun 2025 | Jalan Raya Timur Barat, Tasik Banding, Perak | Bas pelajar UPSI kemalangan | 15 pelajar | 7 parah |
4 Februari 2019 | Kompleks Penjara Jawi, Pulau Pinang | Bas kilang terbabas | 1 | 4 cedera |
24 Oktober 2017 | KM147 PLUS, Tol Juru, Pulau Pinang | Dua bas dan sebuah van bertembung | 8 pekerja kilang | – |
24 Disember 2016 | KM137 PLUS, Kampung Jayo, Muar, Johor | Bas ekspres terjunam ke cerun | 14 | 16 cedera |
21 Ogos 2013 | KM3.6, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur | Bas terbabas dan terhumban ke dalam gaung | 37 termasuk pemandu | 16 cedera |
10 Oktober 2010 | KM223 PLUS, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka | Dua bas, sebuah van dan tiga kereta terbabit | 12 | >40 cedera |
29 Oktober 2010 | KM3.8 Genting Sempah | Bas pelancongan terbabas dan terbalik | 7 | 20 cedera |
26 Disember 2009 | KM272.8 PLUS, Ipoh Selatan, Perak | Bas dua tingkat terbabas dan langgar pembahagi jalan | 10 | 2 (1 parah) |
13 April 2009 | KM443 PLUS, Rawang, Selangor | Bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik | 6 | – |
13 Ogos 2007 | KM229 PLUS, Bukit Gantang, Perak | Bas ekspres terbabas dan terbalik | 20 | 9 parah |
30 Julai 2006 | KM160.8 PLUS, Nibong Tebal, Pulau Pinang | Bas persiaran terbalik | 11 | 35 (9 parah) |
23 November 2003 | KM68, Jalan Lipis-Merapoh, sempadan Pahang-Kelantan | Dua bas bertembung | 14 | 30 cedera |
Julai 1996 | Genting Highlands, Pahang | Bas terhumban ke gaung selepas hari keluarga | 17 (6 kanak-kanak) | – |
Dr. Zuritah A.Kadir
Pensyarah Kanan
Program Sarjana Muda Teknologi Kesemalatan dan kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Azuwien Aida Bohari
Pensyarah Kanan
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 13), 12 Jun 2025: Mengapa kemalangan bas terus berulang?
2. Utusan (utusan.com.my), 12 Jun 2025: Mengapa kemalangan bas terus berulang?