Oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar

PAGOH – Seramai 110 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan (dengan kepujian), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berpeluang memperoleh ilmu persediaan menghadapi alam pekerjaan apabila menyertai program Alumni Talk 2020: Celebrating 5 Years of UTHM’s Food Technology Alumni Journey.

Program yang menemukan mereka dengan lima orang alumni program Teknologi Makanan, UTHM yang datang dari agensi kerajaan dan swasta itu dianjurkan secara dalam talian pada 15 November 2020 lalu.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu bakar yang bertindak sebagai moderator forum, program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar program ini berkaitan persediaan menghadapi permulaan kerjaya setelah menamatkan pengajian.

“Usaha ini adalah bagi membantu para pelajar untuk mendalami ilmu bagi mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan terutamanya di era pandemik Covid-19 ini,” ujar beliau.

Lima alumni tersebut iaitu Hidayati Syamimi Mohd Noor dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Nurul ‘Ain Nadhirah Mohd Nasir dari kedai serbaneka Familymart, Najihah Wahab dari Dapur Jiha & Catering, Muhammad Amir Mohamad Ruzi dari Jabatan Standards Malaysia, Nurzulaikha Azra Zaki Aznam dari MacFood Services (M) Sdn Bhd. dijemput khas untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam dunia pekerjaan.

Tambah Dr. Fadzelly, sepanjang program ini berlangsung pelbagai nasihat dan pengalaman yang berharga telah dikongsi oleh semua panel agar pesertanya dapat menyiapkan diri menghadapi perubahan dalam pasaran kerja di Malaysia.

“Antara yang dibincangkan ialah tip untuk berjaya dalam bidang akademik dan pekerjaan, peluang kerjaya di sektor awam serta peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tip untuk menjalani latihan industri, tip bagaimana untuk beradaptasi dengan situasi kerja di industri serta bagaimana mempersiapkan diri untuk bekerja sendiri terutamanya dalam menghadapi cabaran memulakan perniagaan,” jelasnya lagi.

Dr. Fadzelly juga memaklumkan para peserta turut memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program ini.

“Perkongsian ini sedikit sebanyak memberi semangat terutama kepada pelajar baharu yang kini terpaksa menghadapi pembelajaran secara online sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Beliau turut menjelaskan peningkatan kemasukan pelajar baharu pada sesi kemasukan 2020/2021 ini adalah hasil daripada peningkatan peratusan kebolehpasaran, kebolehkerjaan dan kebolehpendatan alumni program teknologi makanan UTHM bermula 2016 sehingga 2020, iaitu hampir 95 peratus.

“Ini menunjukkan program ini sangat diperlukan dalam pelbagai agensi kerajaan dan swasta terutamanya industri makanan dan juga perkilangan,” katanya lagi.

Turut serta dalam program tersebut, Timbalan Dekan HEPA, FAST, Dr. Mohd Asrul Affendi Abdullah.