Dewasa ini, pelaksanaan biometrik telah menjadi satu keperluan dan dimanfaatkan secara meluas oleh kebanyakan organisasi. Biometrik merujuk kepada satu kaedah di mana pengecaman identiti dilaksanakan melalui ciri-ciri biologi dan tingkah laku yang ada pada setiap individu. Sistem biometrik telah dibuktikan untuk beroperasi pada tahap ketepatan yang tinggi kerana setiap individu mempunyai ciri biologi dan tingkah laku yang unik antara satu sama lain. Antara aplikasi kepada penggunaan biometrik merangkumi bidang keselamatan, forensik mahupun sistem kehadiran.

Menurut Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), penggunaan biometrik cap jari adalah yang paling banyak sekali digunakan secara meluas di agensi-agensi sektor awam seluruh Malaysia. Kepentingan biometrik menjadi signifikan apabila kaedah ini digunakan untuk merekod kehadiran pegawai, menggantikan kaedah konvensional kad perakam waktu. Sebagai contoh, sistem egSentrik telah diperkenalkan bagi merekod kehadiran pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia. Melaluinya, budaya kerja yang berintegriti dan berdisiplin dapat dipupuk dalam kalangan setiap pegawai. Selain itu, biometrik juga turut meluas digunakan di jabatan imigresen seperti Sistem Pasport, Sistem Biometrik Pengesanan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan Biometric Fingerprint Identification System (BIOFIS) untuk mengesan penjenayah. Terdapat juga agensi-agensi yang menggunapakai biometrik untuk tujuan akses masuk ke pejabat.

Sekitar penghujung 2019, dunia telah dikejutkan dengan wabak Covid-19 yang dikesan di Wuhan, China. Lenteran itu, pada Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai pandemik. Sebagai langkah pencegahan penularan, WHO telah menggesa agar setiap individu untuk mengamalkan penjagaan kebersihan yang tinggi dengan kerap membasuh tangan sama ada menggunakan sabun atau hand sanitizer. Secara tidak langsung, apa juga perkara yang dilakukan yang melibatkan sentuhan, sama ada objek mahupun individu, perlu diiringi dengan penjagaan kebersihan secara kendiri. Perkara ini sudah tentunya memberi impak kepada penggunaan biometrik, terutama yang melibatkan sentuhan seperti cap jari. Keadaan ini telah mengakibatkan agensi-agensi yang mengguna pakai biometrik cap jari untuk menyah-aktifkan pelaksanaannya buat sementara waktu sebagai satu langkah keselamatan dan pencegahan. Bagi membendung wabak ini, penggunaan kaedah konvensional mahupun RFID telah mula diperkenalkan semula. Selain itu, sistem merekod kedatangan melalui web telah dibangunkan sebagai satu alternatif kaedah konvensional mahupun bagi pelaksanaan bekerja dari rumah.

Namun begitu, adakah ini merupakan satu petanda bahawa biometrik cap jari sudah tidak selamat lagi digunakan? Bagaimana pula jika penggunaan hand sanitizer diamalkan bersama sebelum penggunaan biometrik cap jari? Adakah ianya dibolehkan? Menurut kajian yang telah dijalankan oleh pakar kesihatan sedunia, permukaan pembaca (sensor) biometrik cap jari dikategorikan untuk mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi medium penyebaran sesuatu wabak. Oleh yang demikian, salah satu cara bagi mengatasi masalah ini ialah dengan menyahkuman permukaan pembaca tersebut menggunakan bahan yang disolusikan khas untuk peralatan biometrik. Perlu diingat bahawa penggunaan bahan lain seperti alkohol terutama yang berkepekatan tinggi boleh merosakkan lapisan pada pembaca. Antara bahan yang disarankan oleh pihak pengeluar ialah Benzethonium Chloride atau Dimethyl Benzyl Ammonium Chloride dengan kepekatan 0.26%. Proses nyahkuman ini adalah digalakkan untuk dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Secara asasnya, penggunaan biometrik cap jari memerlukan jari berada dalam keadaan kering. Oleh itu, penggunaan hand sanitizer pada keadaan sebelum pengecaman cap jari dilakukan adalah dibolehkan selagi cecair ini telah kering di jari. Ini juga bagi memastikan permukaan pembaca bebas daripada kuman/virus yang boleh menyebarkan jangkitan. Justeru itu, adalah sangat digalakkan untuk organisasi-organisasi yang mengguna pakai biometrik cap jari untuk menyediakan hand sanitizer berdekatan dengan mesin pengimbas biometrik di samping melaksanakan peraturan untuk mewajibkan penggunaannya.

Walau bagaimanapun, untuk keperluan jangka masa panjang, kaedah biometrik tanpa sentuh dilihat sebagai satu pilihan yang lebih ideal, praktikal dan selamat dalam era pandemik ini. Sebagai contoh, penggunaan biometrik iris (anak mata) hanya melibatkan pengguna untuk berdiri tegak dan membuka mata sambil menunggu pengecaman iris dilakukan menggunakan kamera infra-merah. Begitu juga dengan biometrik wajah yang mana pengguna hanya perlu berdiri di hadapan kamera beresolusi tinggi, dan pasti ianya lebih mudah dan ringkas. Walaupun demikian, penggunaan biometrik tanpa sentuh mempunyai cabarannya yang tersendiri. Cabaran yang paling besar adalah tahap koperatif seseorang individu ketika pengecaman dilakukan. Sebagai contoh, bagi biometrik iris, tahap koperatif yang baik memerlukan individu tersebut untuk berdiri tegak dan mata perlu memandang tepat ke arah kamera infra-merah. Kegagalan pengecaman akan berlaku jika individu tersebut berdiri sedikit condong, atau mata tidak memandang tepat ke arah kamera. Kegagalan juga boleh berlaku akibat daripada pemakaian cermin mata atau kanta lekap. Ini berbeza dengan biometrik cap jari yang mana tahap koperatif bukan menjadi isu yang besar kerana penggunaannya hanya melibatkan pergerakan jari dalam ruang yang terhad di samping capaian yang lebih ergonomik dan semula jadi.

Pun begitu, bagi organisasi yang telah menggunapakai biometrik cap jari, terdapat alternatif untuk pelaksanaan jangka panjang yang sama praktikal dan selamat tanpa melibatkan perubahan infrastruktur dan kos yang besar iaitu melalui penggunaan biometrik cap jari tanpa sentuh. Dengannya, data-data pengguna sedia ada dapat dikekalkan, di samping dapat menjimatkan kos untuk pelaksanaan pendaftaran cap jari. Secara kesimpulannya, tidak kira jenis biometrik yang digunakan, teknologi ini masih relevan penggunaannya pada era pandemik ini, namun kita sebagai pihak pentadbir dan pengguna perlu bijak mengurus, menyelia dan menyelenggara penggunaannya mengikut kesesuaian situasi semasa.

 

Dr. Nur Ariffin Mohd Zin

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Gambar ehsan *Google