Ancaman Covid-19, aktiviti penyelidikan terhenti atau perlu diteruskan? 

Pelbagai sektor di Malaysia agak terkesan dengan kehadiran pandemik Covid-19 sejak Mac lalu. Selain sektor utama iaitu ekonomi negara, sektor pendidikan juga turut terjejas ekoran arahan hanya aktiviti pembelajaran...

Pelbagai sektor di Malaysia agak terkesan dengan kehadiran pandemik Covid-19 sejak Mac lalu. Selain sektor utama iaitu ekonomi negara, sektor pendidikan juga turut terjejas ekoran arahan hanya aktiviti pembelajaran atas talian sahaja yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun kelihatan sukar, namun norma baharu ini perlu diadaptasi oleh semua pihak bagi memutuskan rantaian jangkitan virus ini secara menyeluruh.

Tidak dinafikan, terdapat kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan mahasiswa universiti khususnya pelajar pascasiswazah secara penyelidikan, staf akademik dan penyelidik-penyelidik. Pastinya, pelajar pascasiswazah secara penyelidikan yang bergantung kepada hasil kajian melalui kerja makmal atau kerja lapangan amat runsing kerana perlu melengkapkan penulisan tesis dan pelaporan kemajuan hasil penyelidikan setiap semester. Begitu juga dengan staf akademik dan penyelidik yang turut bimbang tidak dapat memenuhi sasaran kerja tahunan dengan baik pada tahun ini.

Bagi pelajar pascasiswazah secara penyelidikan sama ada di tahun pertama atau pertengahan, penulis berpendapat tempoh PKP ini bukanlah alasan untuk menghentikan aktiviti penyelidikan walaupun kerja makmal dan kerja lapangan adalah salah satu kaedah metodologi penyelidikan yang telah dirancang awal. Aktiviti penyelidikan perlu diteruskan walaupun hanya duduk di rumah. Berikut penulis mencadangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh mereka:

  1. Memperkasakan kajian literatur tesis dengan membaca serta memperbanyakkan memuat turun kertas jurnal, prosiding dan lain-lain bahan yang berkaitan tajuk penyelidikan melalui pangkalan data secara atas talian di laman sesawang perpustakaan universiti. Pelajar boleh mendapatkan pelbagai bahan seperti e-jurnal dan e-book walaupun dari luar kampus. Ini adalah kelebihan yang diberikan oleh pihak universiti kepada semua pelajar dan staf.
  2. Menghasilkan sekurang-kurangnya satu jurnal yang berbentuk ulasan kajian (paper review) hasil daripada pembacaan dan analisis hasil kajian dari penyelidik lain yang menjalankan kajian yang hampir sama.
  3. Membuat ramalan hasil kajian walaupun kerja makmal atau kerja lapangan masih belum dapat dilaksanakan. Kaedah ini boleh dilaksanakan dengan membuat simulasi menggunakan perisian komersial atau melalui pengaturcaraan komputer. Antara lain, kaedah mengaplikasikan formula empirikal yang telah dihasilkan oleh penyelidik lain juga boleh digunakan untuk membuat ramalan hasil kajian. Dengan adanya hasil ramalan ini, ianya akan memudahkan pelajar untuk membuat proses validasi dengan hasil kajian sebenar daripada kerja makmal atau kerja lapangan yang akan diperolehi setelah tempoh PKP tamat.
  4. Menyertai program atau seminar atas talian mengenai penulisan tesis atau jurnal yang dianjurkan oleh mana-mana institusi atau akademi. Sepanjang tempoh PKP ini, banyak webinar yang berkaitan penyelidikan ini dianjurkan sama ada secara percuma atau berbayar. Dengan mengikuti program ini, ianya dapat membantu memberikan pelajar idea dan kaedah penulisan tesis atau jurnal yang baik.
  5. Inisiatif pelajar untuk menghubungi penyelia sekiranya ada persoalan mengenai tesis atau cadangan kaedah metodologi yang boleh dilaksanakan sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini. Sekiranya tiada komunikasi antara pelajar dan penyelia, ini akan menjadikan aktiviti penyelidikan sepi.
  6. Bagi pelajar tahun akhir yang berada di peringkat penulisan akhir tesis, teruskan momentum menulis. Ini juga ialah masa yang sangat sesuai untuk menulis satu kertas jurnal hasil kajian tesis penyelidikan sendiri sekiranya masih belum diterbitkan. Sekiranya sudah berkeluarga, cari masa yang sesuai untuk menulis.

Bagi staf akademik dan penyelidik yang mempunyai latar bidang penyelidikan kerja makmal atau kerja lapangan, penulis mencadangkan beberapa kaedah penyelidikan yang sesuai secara atas talian yang masih boleh dilaksanakan.

  1. Penyelidikan yang menggunakan perisian komputer samada perisian komersial ataupun menggunakan pengaturcaraan komputer boleh dilaksanakan. Pengenalan kepada prosedur simulasi yang lebih tepat atau analisis parametrik menggunakan perisian komersial boleh dijadikan sebagai kaedah penyelidikan. Setiap universiti pastinya ada melanggan lesen untuk beberapa perisian komputer khususnya yang melibatkan bidang kejuruteraan. Bantuan boleh dipohon daripada pusat teknologi maklumat universiti masing-masing sekiranya ingin menggunakan perisian dari luar kampus.
  2. Penyelidikan secara kajian kes dengan merekabentuk soal selidik dan diedarkan kepada responden. Walaubagaimanapun, kajian ini memerlukan kepakaran penyelidik untuk merekabentuk soalan dan kaedah mengumpul serta menganalisis hasil data yang diperolehi dari responden. Sekiranya tiada kepakaran seperti ini, kerjasama dengan rakan penyelidik yang mempunyai kepakaran tersebut boleh dilaksanakan.
  3. Ulasan kajian kritikal (Critical Paper Review) juga antara kaedah penyelidikan yang boleh dilaksanakan dengan menganalisis hasil kajian dari penyelidik lain yang menjalankan tema kajian yang sama.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh PKP ini, sebahagian aktiviti penyelidikan masih boleh dijalankan dengan sedikit pengubahsuaian kaedah penyelidikan seperti yang dicadangkan di atas. Maka momentum aktiviti penyelidikan pelajar pascasiswazah, staf akademik dan penyelidik tidak akan terjejas. Secara tidak langsung, sasaran kerja individu, fakulti dan universiti akan dapat dicapai walaupun berhadapan dengan ancaman virus Covid-19 ini yang entah bila akan berakhir.

 

Oleh:

Ir. Dr. Shahrul Niza Mokhatar

Pensyarah / Penyelidik

Jamilus Research Centre (JRC)

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM

 

*Imej grafik ehsan Google

 

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE