Apabila manusia sedang diuji pernah atau tidak kita berfikir mengapa kita diuji? Sedar atau tidak dalam setiap ujian yang hadir dalam kehidupan kita ada hikmah yang sedang Allah persiapkan untuk setiap hamba-Nya yang diuji.

Sedia maklum, ujian utama kita dan seluruh dunia sedang hadapi pada waktu ini adalah penularan wabak Covid-19. Kebanyakan tempat dan seluruh dunia ketika ini diarahkan untuk kekal berada di rumah bagi membantu mengurangkan penularan penyakit tersebut dan dalam masa yang sama membantu menghentikan rantaian penyakit berjangkit ini.

Kesannya kita dapati ada yang ketika ini mungkin sedang merindui anak-anak dan cucu yang lama terpisah tidak dapat pulang ke kampung. Ada juga kehilangan punca pendapatan dan ada yang mengalami kerugian dalam perniagaan akibat operasi terpaksa dihentikan.

Apapun yang melanda, jangan terlalu cepat kita bersangka buruk terhadap ujian yang Allah turunkan kepada kita kerana di dalamnya pasti terselit hikmah jika kita menghadapinya dengan sabar dan redha.

Allah berfirman dalam surah Al Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud;

‘Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (sekali lagi ditegaskan: bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan)’

Waktu kita semua sedang diuji dalam tidak sedar terdapat banyak hikmah yang Allah sediakan untuk kita. Menjadi kewajipan kepada kita semua untuk mensyukuri dan menghayatinya.

  1. Ukhuwah kekeluargaan.

Ada di antara kita yang merasa sedih tatkala pengumuman penangguhan aktiviti agama dan solat berjemaah di surau dan masjid, namun kesedihan itu Allah gantikan dengan ikatan kekeluargaan yang semakin erat. Kita dapat solat berjemaah bersama keluarga, dapat melatih anak-anak kecil kita di rumah tentang solat, mengimamkan solat, azan dan iqamah, usrah, tadarus Al-Quran dan solat tarawih bersama ahli keluarga.

  1. Bersedekah dan sederhana.

Lazimnya kita melihat lebih banyak amalan sedekah dijalankan pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Namun sejak awal lagi kita diuji dengan penularan wabak Covid-19 ini, kita dapat lihat ramai yang berebut-rebut menghulurkan bantuan bersedekah, menyumbang sebahagian harta dan tenaga kepada yang memerlukan tanpa menunggu bulan mulia ini hadir. Semoga Allah memberkati semua usaha yang dilakukan.

Selain itu, jika dipandang dari sudut positif juga, waktu ini kita dapat melihat amalan sikap bersederhana dalam pelbagai aspek. Seperti disebut dalam perutusan Perdana Menteri kita baru-baru ini, diharapkan Ramadan kali ini kita berbuka puasa dan bersahur seadanya tanpa membazir. Kesan daripada amalan ini kita akan lebih menghargai rezeki yang Allah sediakan untuk kita sekeluarga. Ini adalah antara hikmah besar dalam ujian yang sedang kita hadapi ketika ini. Allah SWT berfirman dalam surah Al Furqan ayat 67:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil (kedekut) dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.”

  1. Sikap bertanggungjawab.

Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan, kebanyakan dalam kalangan kita menyahut baik perintah tersebut dengan hanya duduk di rumah. Bukan sahaja kerana kepatuhan kita terhadap arahan tersebut, ia juga disebabkan sikap tanggungjawab dalam diri kita untuk bersama-sama membantu untuk memutuskan rantaian penyakit berjangkit tersebut. Kita bukan hanya menanam sikap tersebut dalam diri kita sendiri, namun secara tidak langsung kita dapat mengajar pentingnya sikap bertanggungjawab ini dalam kalangan keluarga kita dan rakan-rakan.

  1. Amanah

Antara sifat mulia Allah hadirkan dalam diri kita sepanjang tempoh PKP ini juga adalah sifat amanah. Antara contoh, semua pekerja yang diarahkan bekerja dari rumah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan amanah tersebut. Selain itu, kita juga dapat lihat sifat amanah para penghantar barang yang diarahkan untuk menghantar barang-barang keperluan harian kepada kita melaksanakan tugasnya dengan sepatutnya. Ketua-ketua kampung dan badan-badan yang dilantik menyampaikan amanah bantuan kepada pihak yang memerlukan juga berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah tersebut tanpa sebarang rungutan walaupun terpaksa meninggalkan keluarga sementara untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

  1. Kebersihan

Hikmah dari wabak Covid-19 ini, lebih ramai dalam kalangan kita meningkatkan usaha menjaga kebersihan sama ada melibatkan kawasan kediaman mahupun kebersihan diri. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali” (Surah Al-Ma’idah, ayat 6). Jika ibadat solat mensyariatkan setiap umat Islam menjaga kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan sentiasa dipelihara.

  1. Tanda Allah sayang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (surah At-Taghabun ayat 11).

Ini adalah antara tanda Allah sayang kepada hambaNya dan ingin membimbing hati kita dalam menghadapi ujian dengan penuh tenang dan sabar. Selain itu, dengan ujian yang diturunkan juga dapat membawa diri manusia yang beriman lebih dekat kepada Allah. Janganlah kita walau sekali menganggap diri malang ketika ditimpa ujian dari Allah, seeloknya kita mencari jalan keluar dengan kembali kepada Allah, berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Namun penting untuk kita sentiasa ingat, bukan sahaja di waktu kesusahan sahaja kita mendekatkan diri pada Allah malah di waktu senang juga.

Kita sedang berada di bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan. Semoga dengan ujian yang sedang Allah turunkan kepada kita semua pada waktu ini membuahkan seribu satu hikmah lebih-lebih lagi di bulan penuh barakah ini. Sebaiknya kita mengambil peluang ini dengan mempertingkatkan amalan-amalan kita yang mungkin kita sudah terlepas peluang dek kesibukan kita sebelum ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga segala ujian dan wabak yang sedang melanda ini tamat dengan segera. Semoga doa-doa kita diterima Allah SWT.

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa, UTHM