“Saya positif COVID-19” – prinsip penting disiplinkan diri untuk patuhi PKP

Semasa menyampaikan ucapan khas sempena kedatangan bulan Ramadan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin telah mengumumkan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020. Ia merupakan...

Semasa menyampaikan ucapan khas sempena kedatangan bulan Ramadan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin telah mengumumkan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020. Ia merupakan fasa keempat perlaksanaan PKP ini dan tidak mustahil ia akan dilanjutkan ke fasa-fasa seterusnya selagi kes-kes penularan wabak ini masih dikesan.

Secara dasarnya PKP membawa maksud pematuhan kepada arahan duduk di rumah, penjarakan sosial, pemakaian topeng muka ketika bergejala atau semasa berada di luar rumah, menjaga kebersihan diri serta beberapa langkah keselamatan dan kesihatan yang lain.

Namun apa yang dikesalkan, terdapat segelintir daripada masyarakat kita yang masih mengambil ringan pematuhan kepada PKP ini. Ketidakpatuhan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang biasa malah ia turut dilakukan oleh golongan kenamaan walaupun kerajaan telah mengumumkan denda dan hukuman penjara kepada sesiapa yang didapati terlibat.

Perkara ini pastinya berpunca daripada masalah kurang disiplin diri, mempunyai sikap sambil lewa serta mementingkan diri sendiri. Mereka mengambil mudah dengan menganggap ‘orang lain yang kena jangkitan, bukan saya.’ Penulis berpendapat bahawa kesedaran kepada kepentingan untuk mematuhi arahan PKP ini hanya akan kita rasai apabila salah satu daripada tiga perkara ini berlaku kepada diri kita iaitu pertama bila kita sendiri ada atau pernah menjadi pesakit yang positif COVID-19; yang kedua apabila ada ahli keluarga kita yang positif dijangkiti wabak ini; dan yang ketiga ada antara orang kita sayangi berada di barisan hadapan atau frontliner.

Prinsip yang sama juga telah diutarakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dalam ucapan beliau kepada rakyat New Zealand pada 25 Mac yang lalu. Dalam ucapannya, PM negara tersebut menyatakan “If you have any questions about what you can and can’t do and you’re looking for answers, apply a simple principle: Act like you have COVID-19. Every move you make could be a risk to someone else. That is how we all must collectively think now”. Dalam erti kata lain, dengan berpegang kepada prinsip ini, kita akan berasa pentingnya untuk kita patuh pada arahan-arahan PKP supaya kita tidak membahayakan orang lain disekeliling kita.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bertimbang rasa, marilah sama-sama kita membantu untuk memutuskan rantaian wabak ini dengan terus mematuhi arahan PKP. Janganlah menjadi orang yang bersikap degil dan mementingkan diri sendiri. Fikirkanlah kesan sikap negatif sebegini kepada suasana sosial, keadaan ekonomi serta lain-lain yang terjejas teruk sekiranya PKP ini terpaksa diteruskan lagi.

 

 

Dr. Azmi Abdul Latiff

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

*Gambar Ehsan Google

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE