Batu Pahat, 22 Mac – Ketika warga kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertungkus lumus menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19), ramai pihak tampil memberi bantuan dan sumbangan mereka sebagai tanda keprihatinan terhadap krisis yang berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Raja, YB Nor Rashidah Ramli hari ini tampil menghulur sumbangan berupa makanan tengah hari untuk diberikan kepada petugas keselamatan dan staf Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di kampus induk. Penyerahan sumbangan yang dibuat di pos keselamatan itu disambut baik oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Pengarah PKU, Dr. Zulkifli Taat.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Wahid mewakili universiti turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Nor Rashidah atas keprihatinan beliau khususnya kepada warga kerja universiti yang bekerja keras menangani penularan wabak tersebut.
Terdahulu Kelab Staf UTHM (KSUTHM) telah melancarkan tabung derma kilat bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar, staf dan ahli keluarga yang terlibat dengan wabak COVID-19. Kutipan dana tersebut merupakan hasil sumbangan warga kampus dan juga orang ramai.
Menurut Pengerusinya, Profesor Dr. Azme Khamis setakat hari ini sumbangan tersebut telah mencecah lebih 17 ribu yang mana dana itu akan disumbang kepada pelajar dan staf yang terlibat di kedua-dua kampus.
“Wang sumbangan tersebut akan diagihkan kepada pelajar dalam bentuk makanan dan barang-barang keperluan harian mereka manakala untuk staf dan keluarga masing-masing pula sumbangan berbentuk bahan keperluan asas seperti beras, gula, susu, minyak masak dan makanan kering,” katanya.
Sementara itu, Koperasi UTHM Berhad juga tidak ketinggalan menyalurkan bantuan berupa bekalan minuman melibatkan 100 katon air mineral (500ml) di seluruh Kolej Kediaman UTHM kampus Induk dan Pagoh bagi kegunaan pelajar dan staf yang sedang dikuarantin mahupun yang sedang bertugas.
Begitu juga dengan pihak UTHM Holdings Sdn. Bhd. yang turut menyumbang 100 katon air mineral kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar untuk tujuan pengagihan. Kedua-dua pihak berharap sumbangan tersebut dapat membantu para pelajar dan staf UTHM mendapat bekalan air minuman bersih.