BATU PAHAT – Bagi menyemarakkan lagi hubungan kerjasama antara dua negara Malaysia-Jerman, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), dengan kerjasama German Academic Exchange Service (DAAD), Malaysia dan Kedutaan Jerman telah menganjurkan German Day 2020 @ UTHM pada 19 Februari lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan, peluang belajar di institut pengajian tinggi (IPT) yang menjalinkan kerjasama dengan pihak Jerman di negara ini dan juga biasiswa untuk menyambung pelajaran ke negara tersebut serta projek penyelidikan bersama. Selain itu, program ini juga untuk memberi peluang kepada pelajar dan peserta mendapatkan ilmu dan pengetahuan baharu hasil daripada pertemuan dan interaksi bersama wakil-wakil dari syarikat Jerman yang terkemuka di dunia.
Menurut Dekan FKMP, Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin program ini juga dianjurkan untuk mempamerkan teknologi, ekonomi dan budaya negara Jerman melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat dari negara tersebut yang semakin berkembang di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya pelbagai aktiviti menarik telah diadakan pada hari tersebut antaranya pameran industri dan ‘talk session’ daripada syarikat-syarikat terkemuka dan institusi budaya Jerman, ceramah mengenai peluang belajar ke negara tersebut, tayangan filem, permainan bahasa Jerman serta cabutan bertuah.
Penganjuran “German Day 2020 @ UTHM” ini melibatkan kehadiran lebih 2000 pengunjung terdiri daripada pelajar dari institut pengajian tinggi di Johor dan Melaka, masyarakat setempat dan juga pelajar sekolah sekitar daerah Batu Pahat.
Tambah Dr. Shahruddin, UTHM merupakan pemacu utama yang menggerakkan hubungan kerjasama universiti antara Malaysia dengan Jerman.
“UTHM melalui FKMP bersama Fraunhofer Society (Fraunhofer IEM) sebelum ini telah menubuhkan Innovation Lab di kampus induk untuk mengukuhkan keupayaan inovasi negara sebagai tindak balas kepada transformasi digital.
“Di samping itu, UTHM turut berganding bahu dengan Universiti Teknikal Dortmund dalam pembangunan inisiatif penyelidikan dan pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutama dalam bidang latihan guru dan Pembelajaran Berasaskan Kerja,” katanya.
Katanya lagi, UTHM dengan kerjasama Universiti Sains Gunaan Osnabrueck turut melakukan penyelidikan berkaitan ‘sistem pendidikan dual Jerman’ untuk menerajui model latihan sebegini di Malaysia.
“Selain itu, UTHM bersama rakan industri Jerman seperti Muehlbauer Technologies dan Rohde & Schwarz juga turut merancang beberapa projek kerjasama untuk dilaksanakan kelak,” jelas beliau lagi.
Jalinan kerjasama ini juga menarik minat IPT Jerman untuk menawarkan pendidikan bertaraf global yang berkualiti tinggi khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi tanpa dikenakan bayaran yuran. Penawaran ini adalah bagi menarik lebih ramai pelajar yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negara ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman selaku wakil rasmi Naib Canselor turut hadir bagi menyempurnakan majlis.
Turut diadakan pada hari tersebut, sesi pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dengan tiga industri Jerman iaitu Fraunhofer, Osnabrueck dan Muehlbauer. Perjanjian ini melibatkan kerjasama dua pihak dalam bidang akademik, pertukaran pelajar, penyelidikan dan perkongsian ilmu serta kepakaran untuk manfaat bersama.
Hadir sama ke program tersebut, pihak kedutaan Jerman yang diketuai oleh Duta Besarnya, Mr. Nikolaus Graf Lambsdorff, Pegawai-pegawai dari Kedutaan Jerman serta Pegawai-pegawai UTHM dan wakil syarikat-syarikat industri Jerman.