BATU PAHAT – Seramai 167 calon pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencatatkan keputusan ‘Lulus dengan Terampil’ bagi Peperiksaan Akhir Teori dan Amali Verifikasi Luaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang bermula pada 9 hingga 11 Februari di fakulti.

FPTV yang merupakan pusat bertauliah telah menawarkan lima program bertauliah verifikasi luaran SKM iaitu Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik-Tiga Fasa (EE-320-3:2012), Operasi Pemesinan (MC-050-3:2012), Juru Binaan Bangunan (B-010-2), Rekabentuk Multimedia Pengarangan (IT-070-3) dan Penyeliaan Pemasangan & Penyelenggaraan HVAC (ME-020-3:2012 bagi sesi Februari tahun ini.

Menurut Ketua Jabatan Kemahiran dan Professional FPTV, Ts. Dr. Nizamuddin Razali statistik jumlah pelajar yang terlibat pada sesi verifikasi kali ini berdasarkan permohonan sepatutnya adalah seramai 193 orang namun jumlah yang hadir semasa sesi verifikasi adalah seramai 172 orang.

“Peratus kehadiran pelajar mencatatkan jumlah sebanyak 89%, 167 daripada jumlah tersebut telah LULUS TERAMPIL dengan cemerlang pada verifikasi sesi ini manakala lima pelajar lagi telah gagal dan perlu diulang nilai oleh panel penilai luaran,” katanya.

“Sehingga Februari tahun ini keseluruhan pelajar FPTV yang telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia adalah seramai 871 orang berdasarkan enam program bertauliah yang ditawarkan,” jelasnya lagi.

Usaha komited warga kerja FPTV dalam memastikan pelajar dan graduannya memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia mengikut bidang masing-masing dan bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik malah kelayakan dalam bidang kemahiran patut diberi sokongan oleh semua pihak.

“Usaha sebegini juga adalah bagi menyediakan graduan UTHM selari dengan tagline “UTHM Produces Professionals,” tambah Dr. Nizamuddin.