KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terdiri daripada Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah, Dr. Khairul Anuar Muhamad, Dr. Afishah Alias dan Profesor Madya Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih Best of the Best Award dan Gold Award dalam pertandingan Sustainable Innovation Awards 2019 ketika berlangsungnya International Greentech and Eco Products Exhibition & Conference 2019 (IGEM 2019) pada 9 hingga 11 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Projek Low Carbon Cities Transport Monitoring System yang dibangunkan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada rakan kolaborasi tempatan dan antarabangsa antaranya Julkifli Awang Besar dari Politeknik Kota Kinabalu, Mr. Rekimi Pokia dari Politeknik Kota Kinabalu dan Dr. Mohammad Syahmi Nordin dari University of Essex, United Kingdom.
Menurut Dr. Fahmy, rakan industri Kiwitech Sdn. Bhd. sudah bersedia untuk memasarkan produk ini di pasaran tempatan dan mereka juga turut mengintai peluang lain untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Lebih menarik lagi, para penyelidik terbabit juga turut mengharumkan nama negeri Johor apabila diangkat sebagai pemenang ‘Tempat Kedua’ bagi kategori State Innovation Award.
Untuk rekod, IGEM 2019 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini melibatkan penyertaan lebih 250 pemain industri dan peserta dari dalam dan luar negara.