Parit Raja, 20 Okt – Dua pasangan kembar bergraduasi serentak pada hari ini di Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) setelah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dengan mendapat kelas pertama.
Mereka terdiri daripada Farihah Fadzil dan Farizah Fadzil serta Raja Hassbullah Raja Hussin dan Raja Hassbiallah Raja Hussin. Kedua-dua pasangan kembar ini merupakan graduan daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS).
Menariknya keempat-empat graduan ini turut menerima Anugerah Naib Canselor ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Naib Canselor yang diadakan pada 17 Oktober lalu.
Bercerita tentang kejayaan mereka, Farizah berkata beliau dan kakaknya telah merancang untuk melanjutkan pelajarannya di peringkat Sarjana di UTHM dalam bidang penyelidikan.
“Kami berdua sentiasa bersama-sama merancang perjalanan pembelajaran kami supaya dapat mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya.
Tambahnya lagi, faktor kejayaan mereka berdua memperolehi kelas pertama adalah kerana mereka sentiasa bersaing secara sihat sesama sendiri untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik setiap semester.
“Saya selalu jadikan kakak saya sebagai pesaing. Jika dia sedang belajar, saya akan turut belajar sama,” katanya.
Sementara itu, satu lagi pasangan kembar Raja Hassbullah dan Raja Hassbiallah turut melahirkan rasa gembira kerana kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan turut menerima Anugerah Naib Canselor.
“Kami adik-beradik sentiasa saling bantu membantu di samping turut berkongsi ilmu pengetahuan serta mengamalkan sikap mengambil berat antara satu sama lain,” jelas beliau.
Tambahnya, mereka sangat bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian secara Graduate-On-Time (GOT) bersama-sama.