BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil langkah proaktif dengan meluaskan pemasaran program akademik ke Maldives menerusi Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perbincangan bersama Maldives National University dan Maldives Qualification Authority (MQA) telah dijalankan menerusi perbincangan wakil delegasi FPTV yang diwakili oleh Dekannya, Profesor Madya Ts. Dr. Abd Rasid Abd Razzaq, Ketua Jabatan Pembelajaran Berterusan dan Kerjasama, Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim semasa berlangsungnya majlis konvokesyen di Mianz International College (MIC), Maldives pada 30 Ogos lalu.
Menurut Dr. Mohamad Hisyam perbincangan yang dibuat adalah untuk membangunkan program ijazah secara dual (joint) di antara FPTV dan MIC serta melaksanakan program Doktor Falsafah Pendidikan, Doktor Falsafah Pendidikan Teknik & Vokasional dan Sarjana Pendidikan Teknik & Vokasional.
“Daripada perbincangan yang telah dijalankan, FPTV akan berusaha menawarkan program sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah pendidikan serta akan mewujudkan pusat penyelidikan untuk memperkembangkan lagi keupayaan FPTV dalam menerajui bidang TVET di Maldives dan negara lain seperti Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh,” ujar beliau.
“Kita juga sempat bertemu dengan Penasihat Perdana Menteri Nepal dan Mantan Perdana Menterinya yang turut hadir ke majlis konvokesyen tersebut dan pihak mereka nampaknya berminat untuk bekerjasama dalam pemasaran program akademik dan akan menghantar beberapa pelajar mereka ke UTHM,” tambahnya lagi.
FPTV juga berharap usaha seumpama ini dapat menjadi contoh dan ikutan kepada fakulti lain di universiti ini untuk meluaskan pasaran program akademik sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.