PAGOH – Lumpuh anggota kaki dan tangan sejak dilahirkan tidak menjadi penghalang kepada bekas pelajar pendidikan khas SMK Sungai Abong, Muar, Muhammad Izzat Hanafi Suhaili, 18 merealisasikan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Izzat yang mengalami masalah ketidakupayaan pergerakan tangan dan kaki tidak menjadikan kekurangan itu sebagai satu halangan kepada beliau untuk menjadi seorang pakar dalam bidang teknologi maklumat satu hari kelak.
Izzat yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya tahun lepas memilih UTHM sebagai pilihan pertama bagi melanjutkan pelajaran di peringkat diploma.
“Saya memilih belajar di UTHM kerana universiti ini sememangnya mempunyai tenaga pengajar yang profesional dalam bidang teknologi maklumat.
“Memang bukan mudah untuk orang kelainan upaya (OKU) seperti saya untuk menyambung pengajian di universiti kerana saya sentiasa memerlukan bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan seharian, tetapi saya sedia menyahut cabaran ini,” katanya ketika ditemui di program Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) baru-baru ini.
Tambah Izzat lagi, dia dimaklumkan UTHM telah menyediakan kemudahan fasiliti yang lengkap kepada golongan OKU bagi memudahkan urusan masing-masing terutama untuk ke kuliah.
Kenyataan ini turut disokong oleh Pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Profesor Madya Dr. Zaidi Embong yang juga golongan OKU. Menurut beliau UTHM kampus Cawangan Pagoh telah menyediakan kemudahan yang sepatutnya supaya golongan ini dapat belajar dengan selesa sehingga tamat pengajian.
“Pihak universiti dan warganya sangat prihatin terhadap golongan seperti kami, ditambah pula dengan kewujudan rakan-rakan sekeliling yang selalu membantu memudahkan pergerakan saya ke kelas untuk mengajar,” tambah beliau.
Izzat yang baharu sahaja mendaftar di UTHM pada 30 Jun lalu dikhabarkan pernah mewakili sekolah dalam pertandingan yang bertemakan teknologi maklumat kategori Pendidikan khas di peringkat kebangsaan dan berjaya memperolehi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
Pelajar ini sempat menyatakan harapannya untuk menjadi seorang penuntut yang cemerlang sekali gus dapat membanggakan ibu dan ayah serta universiti.