PUTRAJAYA – Sempena sambutan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang ke-25 tahun dan sambutan Hari Malaysia, dua pensyarah dan tujuh pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) memasang tekad untuk menawan Kem Dasar Everest pada September akan datang.

Misi yang dinamakan sebagai Kembara Kem Dasar Everest di kem dasar tertinggi dunia setinggi 5,637 meter dari paras laut itu telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi apabila pihak mereka bersetuju untuk menaja sebahagian daripada kos program tersebut bernilai RM30,000.

Rentetan itu, satu majlis pelepasan program telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di bangunan kementerian pada 9 Julai lalu.

Dr. Maszlee dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan penyertaan misi tersebut dan berharap para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum itu dapat memberi yang terbaik untuk mengharumkan lagi nama negara amnya.

Beliau turut menyeru syarikat korporat yang lain untuk tampil menaja misi berkenaan yang masih memerlukan sumbangan kira-kira RM100,000 termasuk tiket penerbangan dan peralatan sukan.

Pasukan Pendaki terbabit terdiri daripada Pensyarah, Dr. Nur Kamilah Yusuf dan Dr. Nor Azali Azmir bersama pelajar Khairul Firdaus Mohd Talib, Atiq Saifullah Lokman Hakim, Putra Nur Addin Abdullah, Kevin Kee Chie Huong, Ham Wen Jun, Muhammad Hazman Hanafi dan Sashen A/L Nagalingam.

Ketua misi, Dr. Nur Kamilah yang juga satu-satunya peserta wanita dalam kembara ini berkata mereka akan berangkat pada 6 September ini dan dijangka pulang pada 22 September.

“Pasukan kami melakukan pelbagai latihan persediaan termasuk mendaki Gunung Stong di Kelantan dan Gunung Semeru dan Gunung Kerinci di Indonesia.”

“Dengan pelaksanaan misi ini, diharap pasukan ini dapat mengharumkan lagi nama universiti yang baru sahaja mencecah usia 25 tahun,” katanya.

 

 *gambar ehsan NST