Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menandatangani perjanjian persefahaman MoU dengan Tokyo City University (TCU), Jepun pada 26 November lalu bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Dalam sesi menandatangani perjanjian tersebut, UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Wahid Razaly sambil disaksikan oleh Pendaftar, Encik Abdul Halim Abdul Rahman manakala pihak TCU pula diwakili oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Ilmuan, Profesor Dr. Akira Taguchi selaku wakil rasmi Presidennya, Profesor Dr. Miki Chitoshi.
Profesor Dr. Wahid Razaly dalam ucapannya menekankan kepentingan universiti membentuk jalinan antarabangsa yang dinamik dan berpandangan jauh sekali gus terus memberi tumpuan ke arah penarafan UTHM sebagai universiti yang tersohor dan bertaraf dunia.
Sementara itu, Profesor Dr. Akira pula dalam ucapan balasnya memaklumkan bahawa TCU amat berbesar hati memilih UTHM sebagai universiti luar negara yang ke 17 dalam menjalin hubungan melalui perjanjian persefahaman ini.
“Ini merupakan satu kejayaan bagi TCU dalam membina kesinambungan bersama universiti luar dan pihak kami amat mengharapkan kerjasama antara kedua-dua universiti ini dapat dikekalkan dengan memastikan pembangunan akademik dan penyelidikan berjaya direalisasikan,” katanya.
MoU ini melibatkan kerjasama dalam aktiviti akademik dan penyelidikan, program latihan staf akademik, program pertukaran pensyarah, program pertukaran pelajar, pertukaran bahan dan maklumat ilmiah dan bidang-bidang lain yang berkaitan.
Menurut Penyelaras MoU FPTP, Dr. Yunos Ngadiman tercetusnya hubungan jalinan persefahaman bersama TCU ini bermula dari lawatan delegasi akademiknya ke TCU pada Mei 2015 lalu yang diketuai oleh Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi (FPTP) dan Perniagaan, Profesor Sr. Dr. David Martin @ Daud Juanil bersama Ketua Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi, Dr. Nor Aziati Abd. Hamid.
Rentetan itu, beberapa siri lawatan akademik dan perbincangan telah diadakan antara kedua-dua pihak di samping lawatan balas TCU sebanyak dua kali ke UTHM sebelum memutuskan persetujuan untuk memeterai perjanjian MoU.
Termeterainya MoU ini dapat membuktikan peningkatan penanda aras prestasi UTHM dalam menambah bilangan perjanjian kerjasama MoU di peringkat antarabangsa demi mengukuhkan kedudukan UTHM ke arah universiti bertaraf dunia.