Batu Pahat -Canselor UTHM, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang berlangsung pada 23 September baru-baru ini di Batu Pahat, Johor.
Majlis perkahwinan Nur Ajierah binti Wahid dan pasangannya, Mohd Aiman bin Sanudin itu diadakan di kediaman Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly dan isteri, Profesor Dr. Noraini Kaprawi.
Keberangkatan Sultan Ibrahim pada jam 12 tengah hari disambut oleh ibu bapa kedua-dua mempelai sebelum ke meja utama untuk upacara santapan bersama pasangan pengantin.
Tuanku Sultan yang juga Canselor UTHM turut berkenan memulakan acara merenjis dan tepung tawar pasangan pengantin.
Baginda meluangkan masa selama sejam beramah mesra bersama para tetamu yang hadir sebelum berangkat pulang.
Sumber: Royal Press Office