Batu Pahat, 4 Sept – Proses pendaftaran pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi 2017/2018 hari ini berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat sehingga pukul lima petang ini, jumlah pendaftaran pelajar telah mencatatkan sebanyak 2,530 orang dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat sehingga tempoh rayuan berakhir.

Menurutnya lagi kesemua pelajar yang mendaftarkan diri hari ini akan mengikuti pelbagai program akademik yang ditawarkan oleh lapan (8) fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK). Para pelajar dari FAST dan FTK akan memulakan sesi pengajian mereka di kampus cawangan Pagoh sejurus tamat minggu orientasi ini.

Suka saya mengingatkan kepada semua pelajar baharu bahawa pihak Universiti sedia membantu pelajar yang menghadapi masalah sepanjang tempoh pengajian mereka. Pihak Universiti telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada para pelajar yang kurang bernasib baik contohnya bantuan makanan melalui program Sabil Al Hikmah dan pemberian zakat kepada yang layak. Justeru itu, kepada para pelajar yang menghadapi masalah, pihak kami amat mengalu-alukan kedatangan anda semua di Pejabat Hal Ehwal Pelajar bagi tujuan mendapatkan bantuan, tambahnya.

Para pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak Universiti dan akan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung bermula 4 hingga 9 September ini. Sepanjang minggu tersebut, mereka akan dibantu oleh kira-kira 300 pembantu MHS yang terdiri dalam kalangan pelajar kanan katanya.

Hadir sama, Pimpinan Tertinggi UTHM yang juga turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar baharu dan keluarga masing-masing yang hadir menemani mereka pada hari ini.

Mohd Danial Haikal, 23 anak kelahiran Sungai Petani yang mengambil program Kejuruteraan Mekanikal ketika ditemui semasa proses pendaftaran berlangsung berkata tawaran menyambung pengajian di UTHM merupakan peluang yang tidak ternilai bagi dirinya.

Saya memohon tempat di UTHM sebagai pilihan pertama kerana hasil pemerhatian yang dilakukan sebelum ini, saya melihat graduan Universiti ini sering mendapat tempat di pasaran kerja kerana kursus-kursus yang ditawarkan sangat meyakinkan. Saya juga turut mendapat galakan dan sokongan penuh daripada keluarga terutama ibu saya, Fatimah Abdul Rashid yang mahu saya menggengam segulung ijazah di sini, katanya.

Pihak Universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar baru ini ke UTHM. Kemasukan pelajar-pelajar baru ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah pada akhir pengajian kelak. – suria

mhs2017