Pasukan Debat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih juara keseluruhan dalam Pertandingan Debat Technology Vocational Education and Training (TVET) yang telah diadakan di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical Bioengineering Technology (UniKL MICET) pada 8 hingga 10 September baru-baru ini.
UTHM yang diwakili Mohammad Ikhmal Siddiq Jefri Din, pelajar tahun satu dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) dan Siti Khadijah Dermawan, pelajar tahun tiga dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah bertarung menggunakan format ala Parlimen British bagi kategori Bahasa Melayu.
Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM600, piala pusingan, cenderamata dan sijil penyertaan yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Akademik Teknologi UniKL, Profesor Dato’ Dr. Azanam Shah Hashim.
Sebanyak 24 pasukan telah menyertai pertandingan debat ini yang julung-julung kali diadakan dalam kalangan institusi teknikal di seluruh Malaysia.
Di peringkat akhir UTHM berdepan dengan Universiti Teknologi Petronas, British-Malaysian Institute (UniKL BMI) dan Kolej MARA Kulim sekali gus berjaya menewaskan ketiga-tiga pasukan tersebut .
“Pasukan UTHM telah membuat persediaan awal sebelum pertandingan. Selain memperbanyakkan bacaan tentang isu-isu TVET, mereka juga mengadakan latihan demi latihan untuk meningkatkan lagi keyakinan diri serta ilmu sedia ada,” kata Penasihat Kelab Debat, Dr. Lee Te Chuan yang juga seorang Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).