Bagi mendekati dan membantu komuniti Islam dan golongan miskin yang memerlukan, seramai 30 pelajar serta pegawai pengiring dari Kelab Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke bumi Ho Chi Minh untuk menyertai program “Masih Ada Yang Sayang Vietnam” yang diadakan pada 8 hingga 12 November lalu.
Untuk rekod, umat Islam di Vietnam merupakan komuniti minoriti dan tidak seramai golongan muslim di Malaysia. Bagaimanapun, daya survival yang tinggi membolehkan mereka hidup aman di tengah-tengah masyarakat bukan Islam walaupun secara realitinya mereka kekurangan dari segi kebebasan dan pembelaan serta perlu bersaing dalam kehidupan seharian.
Atas dasar kemanusiaan, UTHM terpanggil untuk menghulur bantuan bagi mengurangkan beban penduduk muslim di sana. Program ini juga sebagai pendedahan kepada mahasiswa bagi mengembangkan minda mengenali budaya luar di samping membina hubungan baik antara masyarakat di luar negara.
Uniknya, para peserta menunjukkan kesungguhan dengan menggunakan wang sendiri dalam menjana dana melalui aktiviti mencuci kereta, mengadakan bengkel kepada kelab lain di dalam universiti dan menjual makanan serta mengutip derma di masjid sekitar Batu Pahat, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk berkenaan.
Pengarah program, Ahmad Azfar Roslan berkata pogram tersebut melibatkan lawatan ke tiga masjid iaitu Masjid Jamiul Anwar, Masjid Al-Rahim dan Masjid Musulman bagi beramah mesra dengan penduduk setempat selain turut menghulur bantuan barangan keperluan.
Selain mendidik peserta bekerja secara efektif, mereka turut berpeluang merasai kehidupan masyarakat Islam di Ho Chi Minh.
Menurutnya walaupun kebanyakkan masjid di sana tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara, namun masih ada jemaah yang datang setiap hari bagi mengimarahkan masjid.
“Semasa di Masjid Jamiul Anwar, kami sempat beramah mesra dengan 200 orang penduduk Islam di sana. Sikap masyarakat yang tetap menerima setiap kekurangan yang ada tanpa sebarang rungutan ini patut dicontohi oleh mahasiswa dan masyarakat Malaysia agar sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi hari ini dan bukannya bermegah dengan kemewahan yang ada, ” katanya.
Selain menghulurkan sumbangan kepada pihak masjid, para peserta turut berkunjung ke beberapa kediaman bagi merasai sendiri kehidupan di sana.
Source: “Masih Ada Yang Sayang Vietnam” – UTHM berbakti di bumi Ho Chi Minh