Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar merangkap Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkenan mencemar duli menyempurnakan upacara perasmian masjid baharu universiti ini yang kini dinamakan secara rasmi sebagai Masjid Sultan Ibrahim pada 20 November lalu.
Baginda menandatangani plak sebagai simbolik perasmian masjid baharu itu yang dibina dengan kos hampir RM33 juta sebelum Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin membacakan doa selamat.
Sultan Johor menunaikan solat jumaat bersama lebih 2000 jemaah yang terdiri daripada warga UTHM, pemimpin tempatan serta masyarakat setempat dan turut beramah mesra dengan mereka sejurus selesai bersolat. Baginda kemudiannya berkenan berangkat ke majlis jamuan rakyat yang diadakan di masjid itu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalib Abd Rahim; Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut dan Naib Canselor  UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.
Masjid Sultan Ibrahim mula memainkan peranannya sebagai institusi Syiar Islam apabila mendapat kebenaran dari pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk beroperasi pada Oktober 2011.
Masjid baharu yang berkeluasan 2.4 hektar ini mampu memuatkan seramai 3000 orang jemaah dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan kemudahan lain seperti pusat sumber, bilik komputer, bilik seminar, pejabat pentadbiran dan penempatan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, UTHM.
Masjid ini turut dijadikan masjid tumpuan kepada masyarakat setempat seperti warga Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Perumahan Taman Universiti, Perindustrian Parit Raja selain beberapa kampung dan sekolah yang berhampiran untuk menunaikan solat jumaat dan solat sunat hari raya.
Bangunan masjid ini turut beroperasi sebagai Kompleks Pusat Islam yang bertindak sebagai pusat ilmu dan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antara aktiviti yang pernah dijalankan sepanjang tahun ialah seperti Kursus Haji Perdana peringkat negeri, Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin, Program Takbir dan Solat Sunat Hari Raya, Program Ibadah Qurban Perdana, Kursus Pendedahan Pengajaran  Iqra’, Kursus Perkahwinan Dalam Islam, Karnival Bubur Asyura, Program Khidmat Komuniti Jalinan Ukhuwah Masjid Dan Surau, Sambutan Maal Hijrah dan Kuliyah Subuh serta Maghrib. ~ Technically Above The Rest

Source: Sultan Johor rasmi Masjid UTHM