Kuantan: Pasukan Malaysia Elit dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Edisi Ke-6, 2015 yang berlangsung di Pusat Beli Belah Berjaya Megamall Kuantan pada 15 hingga 20 September lalu anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia.
Kejayaan Malaysia Elit itu diraih selepas memenangi lima daripada lapan emas dipertandingkan, manakala Malaysia Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang meraih tiga emas, tiga perak dan dua gangsa muncul naib juara. Tempat ketiga dimenangi Vietnam dengan mengutip dua perak dan tiga gangsa.
Kategori Pesilat Terbaik Putra dan Putri Antarabangsa, masing-masing menjadi milik Muhammad Faizul M Nasir dari Malaysia Elit dan Siti Shazwana Ajak pula mewakili IPT Malaysia.
Turut sama menyertai kejohanan kali keenam itu Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, India, Korea Selatan dan Yaman.
Bagi kategori IPT tempatan, Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara keseluruhan hasil kejayaan merangkul empat emas dan dua perak, diikuti Kolej Komuniti (KK) Pahang dengan empat emas, satu perak dan dua gangsa.
Tempat ketiga pula diraih Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) yang meraih empat emas dan dua gangsa.
Bagi kategori Pesilat Terbaik Putra dan Putri IPT, masing-masing menjadi milik Muhamad Zarish Hakim yang mewakili KK Pahang dan Normanjalina Madon dari Universiti Malaya (UM).
Hadiah disampaikan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan PESAKA, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah. Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Tony Azman Hassan.
Source: Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri iktiraf kecemerlangan atlit IPT