Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan International Conference on Electrical and Electronic Engineering (IC3E 2015) bertempat di Hotel Equatorial, Melaka pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Persidangan yang bertemakan Engineering Towards Sustainable Future ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Ir. Mohammad Bisri, Rektor Universiti Brawijaya (UB), Indonesia dan juga beberapa pegawai kanan dari Universiti Brawijaya dan UTHM.
Persidangan anjuran bersama Universiti Brawijaya ini telah menarik minat ramai penyelidik dari pelbagai negara seperti Qatar, United Kingdom, Turki, Indonesia, Nigeria, Iraq, Iran dan India. Lebih 200 kertas kerja telah diterima dan sebanyak 166 kertas kerja telah dibentangkan yang mana semuanya bakal diterbitkan dalam ARPN Journal of Engineering and Applied Sciences yang diindeks oleh Scopus.
Sesi ucaptama persidangan menampilkan tiga pakar iaitu Profesor Dr. Abbes Amira dari University of the West of Scotland, United Kingdom, Profesor Dr. Zabih Ghasemlooy dari Northumbria University, United Kingdom dan Dr. Mazlan Abas dari Redtone IOT Sdn Bhd. dengan pembentangan meliputi topik Connected Health, Visible Light Communication, dan Internet of Things (IoT).
Bagi meneruskan usaha UTHM ke peringkat antarabangsa, FKEE, UTHM dan UB bertekad untuk meneruskan persidangan ini pada tahun akan datang dengan penglibatan pelbagai universiti dari seluruh dunia terutama dari rantau Asia.
Source: FKEE UTHM anjur IC3E 2015 – perkukuh rangkaian antarabangsa