Warga Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mempamerkan kesungguhan masing-masing membantu golongan asnaf dengan menganjurkan Program Ikhlas Ramadan 2015 pada 21 hingga 25 Jun lalu.
Program Ikhlas Ramadan dengan kerjasama Pusat Islam ini adalah untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf dalam kalangan pelajar FKAAS dan masyarakat setempat sekitar kawasan Parit Raja dan Sri Gading, Batu Pahat.
Hasil sumbangan warga fakulti ini diedarkan kepada 10 orang pelajar dan 50 keluarga asnaf. Sumbangan adalah berbentuk wang tunai dan juga barang keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, gula, mee kering, tamar dan juga kuih raya.
Kemuncak majlis penyampaian sumbangan dan iftar telah diadakan pada 25 Jun lalu bertempat di Masjid UTHM dan disempurnakan oleh Dekan FKAAS, Profesor Madya Dr. Abd. Halid Abdullah. Turut diadakan penyampaian tazkirah oleh Ustaz Haji Baharudin Yaman @ Abdul Ghani dengan tajuk ’Ikhlas Ramadhan’ dan diselitkan dengan beberapa pengisian seperti solat asar, maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.
Diharapkan sumbangan dan kerja-kerja amal di bulan penuh keberkatan ini dapat membantu mengurangkan beban golongan asnaf di samping memberikan merea sedikit kegembiraan. FKAAS berharap aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak.