10 pelajar dan dua pensyarah pengiring akan mewakili Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke program Mobiliti Berkredit Kokurikulum di Universitas Gadjah Mada, Yogjakarta, Indonesia bermula pada 14 hingga 31 Ogos ini.
Berikutan itu, satu majlis amanat telah diadakan pada 12 Ogos baru-baru ini bertujuan menemukan kumpulan pelajar tersebut dengan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim. Beliau dalam amanatnya mengucapkan syabas kepada semua yang terpilih dan mengingatkan mereka supaya menjaga akhlak dan tingkah laku sepanjang program ini diadakan. Beliau menegaskan adalah penting untuk semua peserta menjaga imej dan perwatakkan diri memandangkan mereka membawa nama UTHM dan negara ke sana.
“Saya amat berharap semua peserta dapat mengunakan peluang ini sebaiknya dengan menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran semasa mengikuti Kursus Kerja Nyata (KKN) di sana. Jangan lupa berkongsi pengalaman yang dilalui bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah ini turut dihadiri Timbalan Pengarah Pusat Kokukrikulum, Puan Hajah Sarebah Warman dan Pensyarah Pengiring, Encik Mohd Safiee Idris dari Pusat Pengajian Diploma serta Dr. Khairunesa Isa dari Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan.
Program mobiliti berkredit yang diadakan selama 18 hari ini memberi peluang kepada para pelajar mendalami konsep KKN dan kumpulan pelajar ini merupakan kumpulan perintis.
Pertemuan tersebut diakhiri dengan upacara simbolik penyerahan bendera Malaysia kepada ketua kontingen Mobiliti Berkredit Kokurikulum ini iaitu saudara Mohamad Hamizan Mazlan.
uthmindo