Bagi mengukuhkan hubungan kerjasama antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universitas Hasanuddin (UNHAS), satu majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) telah diadakan di kampus Induk UNHAS, Makasar, Indonesia pada 13 Ogos baru-baru ini.
MoU yang telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan Rektor UNHAS, Profesor Dr. Dwia Aries Tina itu adalah bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerjasama antara kedua-dua buah universiti dalam bidang akademik dan penyelidikan.
MoU ini merupakan platform terbaik bagi UTHM dan UNHAS berkongsi pengetahuan, idea dan kepakaran serta kemudahan peralatan dan sumber di samping membuka ruang yang lebih luas kepada para penyelidik untuk menjalinkan sebarang kolaborasi. Bidang kerjasama lain termasuklah program pertukaran staf dan pelajar dan juga program latihan secara bersama di antara kedua-dua institusi serta aktiviti pengantarabangsaan akademik seperti Joint Degree Program dan Double Degree Program.
UTHM sebelum ini telah menjalin hubungan baik dengan UNHAS melalui fasa yang pertama dengan termeterainya Surat Hasrat (Letter of Intent) pada 13 Februari 2014 lalu di UNHAS. Seterusnya UNHAS telah mengadakan kunjungan ke UTHM pada 21 hingga 23 Jun lalu dengan membawa misi menyembah hasrat kepada DYMM Sultan Johor selaku Canselor UTHM untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat (Honoris Causa).
Pertemuan antara DYMM Tuanku Canselor dengan delegasi UNHAS yang diketuai oleh Rektornya di Segamat semasa Kembara Mahkota Johor 2014 telah mendapat perkenan atas penganugerahan Honoris Causa yang bakal diberikan. Rentetan kunjungan tersebut, kedua-dua institusi terus mengadakan pertemuan demi pertemuan bagi melaksanakan beberapa program yang telah dirancang.