Program Jejak Menara 2014 bagi Zon Johor anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan di Dewan Tunku Mahkota Ismail pada 15 Mac lalu telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 650 peserta dalam kalangan lepasan SPM dan STPM/STAM tahun 2013 di seluruh negeri Johor Darul Ta’zim.

Penganjurannya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta akan realiti kehidupan akademik di universiti di samping membentuk jati diri dalam mengharungi kehidupan pasca sekolah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kasim telah menyempurnakan upacara perasmian program tersebut. Turut hadir, Ahli Lembaga Pelaburan YADIM Dato’ Khairul Anwar Rahmat dan Pengarah Bahagian Kepimpinan Belia YADIM, Encik Zamani Mohd Karulani.

Program diisi dengan taklimat ‘Prospek Melanjutkan Pengajian di UTHM’ oleh Dr. Suliadi Firdaus Sufahani dari Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan, UTHM. Turut diadakan, sesi motivasi dan perkongsian pengalaman yang dikelolakan oleh dua orang selebriti ikon Jejak Menara 2014 iaitu Fazli UNIC dan Diana Amir. Program itu juga turut melibatkan 40 orang pelajar UTHM yang bertindak sebagai fasilitator bagi program Jelajah Kampus.

Jejak Menara 2014 Zon Johor merupakan satu daripada beberapa siri Jejak Menara 2014 peringkat kebangsaan anjuran YADIM yang diadakan sepanjang bulan Mac 2014 di 14 IPTA terpilih dengan mensasarkan belia lepasan SPM dan STPM/STAM 2013.