Seiring dengan polisi 1Murid 1Sukan yang dilancarkan khusus untuk para pelajar di peringkat sekolah, Kolej Kediaman Perwira UTHM turut mengambil langkah proaktif dengan melancarkan polisi 1Penghuni 1Sukan dalam kalangan seluruh warganya.
Majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh wakil rasmi kepada YBhg Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UTHM iaitu Profesor Madya Dr Ahmad Rizal Bin Madar, Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-kolej Kediaman pada 27 Oktober 2013 bertempat di Dataran Blok A, Kolej Kediaman Perwira.
Polisi 1Penghuni 1Sukan juga disemarakkan dengan konsep rumah sukan yang turut mula dikembangkan pada September lalu, dengan semua penghuni di KKP menganggotai rumah sukan sama ada Scarlet (Merah), Azure (Biru), Harlequin (Hijau) atau Aureolin (Kuning).
Pelancaran polisi ini telah dimulakan juga dengan aktiviti senamrobik, larian obor oleh penyelaras dengan diikuti ketua rumah-rumah sukan serta gimik perasmian dengan kemunculan skuad all-terrain vehicle (ATV) yang diketuai oleh Dr Afandi Bin Ahmad, Pengetua KKP. Kelangsungan majlis pada hari itu juga diteruskan dengan seluruh warga KKP mewakili rumah sukan masing-masing bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Merentas Desa Piala Pengetua KKP Edisi 02.
Iltizam utama polisi 1Penghuni 1Sukan adalah ke arah memperkembang gaya hidup sihat dalam kalangan penghuni KKP yang seterusnya menjayakan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik Perwira dengan wawasan untuk melahirkan penghuni yang bukan sahaja cergas fizikalnya malah cerdas minda dan santun pekertinya.