Seluruh umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan tahun ini (2020) mulai pada tarikh 24 April 2020 (Masihi) Bersamaan 1 Ramadan 1441 (Hijrah). Pada masa ini, kaedah penentuan puasa dan hari raya di seluruh dunia Islam berdasarkan tiga amalan yang berbeza; rukyah, hisab serta gabungan rukyah dan hisab. Rukyah adalah menentukan permulaan puasa dan hari raya dengan melihat anak bulan samada dengan mata kasar atau dengan bantuan alat seperti teleskop dan total station. Keputusan ditentukan dengan anak bulan dapat dilihat ketika rukyah atau sebaliknya. Hisab adalah menentukan permulaan puasa dan hari raya dengan kaedah kiraan matematik dan astronomi, yang mana pengiraan dilakukan bagi menentukan sudah lahirnya anak bulan. Anak bulan (hilal) diistilahkan kelihatan atau sebaliknya berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Menggabungkan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan permulaan puasa dan hari raya adalah kaedah yang dipraktikkan oleh Malaysia bagi menentukan permulaan tarikh penting tersebut. Permulaan puasa dan hari raya ditentukan dengan terlihatnya hilal selepas berlaku ijtimak iaitu apabila bumi, bulan dan matahari berada di garisan atau longitud yang sama. Menurut astronomi moden dan ilmu falak, perkiraan bulan baru bermula selepas peristiwa ijtimak dan hilal dikira berada di ufuk barat ketika matahari terbenam.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah S.A.W  telah bersabda:

????? ?????????? ????????? ????????? ??????? ????????????? ???????????? ?????? ????? ?????????? ????????? ????????? ???????

Maksudnya: “Berpuasalah kamu kerana melihatnya iaitu anak bulan dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Sekiranya ia terlindung daripada kamu maka genapkanlah bilangan bulan Sya’ban tiga puluh hari.”

Riwayat Imam Al-Bukhari (no.30)[1]

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W  menyebut Ramadhan dengan sabda Baginda:

?? ????????? ?????? ??????? ????????? ???? ?????????? ?????? ???????? ?????? ????? ?????????? ??????????? ????

 Maksudnya:“Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya. Sekiranya ia tersembunyi daripada kamu maka hendaklah kamu takdirkannya.”

Di Malaysia, tanggungjawab melihat hilal dilakukan oleh Jawatakuasa Rukyah Negeri yang dilantik oleh Ketua Agama Islam Negeri yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri. Terdapat kira-kira 29 lokasi melihat anak bulan di seluruh Malaysia. Peralatan berteknologi seperti teleskop dan total station serta pengiraan data rukyah yang meliputi jadual pergerakan bulan dan matahari digunakan pada hari rukyah bagi membantu para pencerap.

Kriteria Imkanur-Rukyah

Kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan hilal) mula diperkenal ketika Muktamar Hilal Bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan ketetapan: (1) Ketinggian hilal tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam; (2) Jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang daripada 8° ketika matahari terbenam. Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerimapakai Deklerasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif, bahawa umur hilal tidak kurang dari lapan jam ketika ianya terbenam. Pada 1 Jun 1992, bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersetuju untuk mengubahsuai kriteria Imkanur-Rukyah yang sedia ada. Ketetapan tersebut menyatakan bahawa hilal akan kelihatan jika ia berada pada ketinggian 2° dari ufuk ketika matahari terbenam dan jarak lengkung anak bulan dengan matahari adalah 3° ketika matahari terbenam atau umur hilal lebih dari 8 jam selepas ijtimak berlaku ketika ianya terbenam.

Kriteria ini menyatakan sekiranya hilal telah lahir (ijtimak berlaku sebelum terbenam matahari pada 29 Syaaban atau Ramadan) dan menurut hisab falak kedudukan hilal berada dalam lingkungan dan had syarat Imkanur Rukyah, maka telah dikira masuk bulan baru (Ramadhan atau Syawal) dan esoknya dikira 1 Ramadan atau Syawal. Tetapi jika hilal walaupun sudah lahir (ijtimak) sebelum matahari terbenam tetapi menurut hisab hilal berada diluar lingkungan atau tidak memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka hilal dikira tidak kelihatan dan esoknya dicukupkan 30 Syaaban atau Ramadan. Oleh kerana bilangan bulan dalam kalender Hijrah adalah antara 29 atau 30 hari sahaja, maka jika hilal tidak kelihatan pada 29 haribulan maka dicukupkan jumlah 30 hari dan jika hilal kelihatan maka jumlah hari pada bulan tersebut hanya 29 hari sahaja.

Penentuan permulaan Ramadan pada tahun 2020

Jika ditinjau data hisab falak bagi menentukan puasa di Batu Pahat pada tahun 2020, hilal Ramadan akan dirukyah pada 29 Syaaban bersamaan hari khamis, 23 April 2020. Ini bagi memastikan jumlah hari dalam sebulan di bulan Syaaban sama ada 29 hari (jika hilal Ramadhan kelihatan) atau 30 hari (jika hilal Ramadhan tidak kelihatan). Pada tarikh tersebut ijtimak telah berlaku pada 29 syaaban bersamaan 23 April pada jam 10.26 pagi. Ini bermakna ketika matahari terbenam pada 7.11 petang  dan hilal pula terbenam pada 7.28,  hilal Ramadhan telah lahir.

Berdasarkan kriteria Imkanur-Rukyah, ketika hilal terbenam pada petang 23 April tersebut, ketinggian hilal adalah 3º 27’ (telah melebihi kriteria  > 2º) dan jarak lengkung hilal ke matahari 4º 54’ (telah melebihi kriteria > 3º).  Sementara itu hilal pula berumur 9 jam 2 minit (telah melebihi umur 8 jam) dan hilal berpeluang untuk dirukyah atau dilihat dengan bantuan alat astronomi seperti teleskop atau alat total station selama 17 minit di atas ufuk sebaik sahaja matahari terbenam. Merujuk kepada data-data hisab, semua kriteria Imkanur-Rukyah telah dipenuhi, justeru menurut hisab, 1 Ramadan akan bermula pada 24 April 2020.

Data-data hisab dihitung bagi memenuhi salah satu kaedah menentukan puasa dan hari raya. Data hisab ini juga membantu di dalam kerja merukyah. Jika sekiranya ketika merukyah, hilal tidak kelihatan di semua tempat disebabkan faktor cuaca, maka penentuan awal Ramadan ditentukan dengan merujuk kepada data-data hisab. Menurut hisab pada tahun ini, hilal dikira nampak kerana telah memenuhi kesemua kriteria Imkanur-Rukyah dan awal Ramadhan jatuh pada 24 April 2020.  Walau bagaimanapun keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh pihak Penyimpan Mohor Besar Raja Raja setelah semua tempat rukyah selesai melaksanakan kerja-kerja merukyah hilal.

 

 

Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad

Pusat Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

&

Prof. Madya Ts. Masiri Kaamin

Pusat Pengajian Diploma