Kira-kira 3000 orang warga UTHM serta masyarakat setempat hadir sebagai tanda sokongan sekaligus memeriahkan malam konsert Ulangtahun Ke-20 UTHM yang telah diadakan baru-baru ini.
Seramai 90 orang ahli pemuzik yang terdiri daripada kumpulan orkestra simfoni National University of Singapore (NUS) serta kombo UTHM telah mempersembahkan gandingan yang sangat mantap dalam persembahannya sempena konsert tersebut. Manakala tokoh muzik orkestra negara, Datuk Johari Saleh pula menjadi Pengarah Muzik bagi persembahan tersebut.
Konsert pada malam tersebut lebih bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli hadir menyaksikan persembahan tersebut. Turut hadir ialah Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM dan isteri, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.
Dua orang artis yang didatangkan khas daripada Kuala Lumpur untuk melengkapkan persembahan pada malam tersebut ialah Anuar Zain dan Alyah.
Menurut Naib Canselor UTHM, ”Diharapkan persembahan bersama konsert ini manjadi satu titik permulaan dalam kerjasama antara universiti dan seterusnya UTHM dapat maju kehadapan berdasarkan inisiatif kerjasama dalam pelbagai program lain. Saya percaya program seperti ini juga dapat membantu dalam menyuburkan kesefahaman yang lebih mapan, bukan sahaja di antara pelajar tetapi juga di antara rakyat Johor dan Singapura.
Dikeluarkan oleh:
Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Tel: 07-4537025 / 013-7330655