Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan daripada 10 Politeknik Malaysia yang diketuai oleh Jabatan Pengajian Politeknik dan Politeknik Merlimau pada 26 Jun lalu. Lawatan kerja Benchmarking RELASIS Politeknik Malaysia bertujuan untuk mendapat maklumat berkaitan tatacara pengurusan dan perlaksanaan aktiviti RELASIS UTHM.
Untuk rekod, RELASIS UTHM merupakan peneraju utama untuk dijadikan rujukan oleh semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam menyusun strategi yang berkesan ke arah mencapai visi serta misi kerajaan dalam usaha menanam dan menggalakkan minat kesukarelaan dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Lawatan kerja Benchmarking RELASIS Politeknik Malaysia bertujuan untuk mendapat maklumat berkaitan tatacara pengurusan dan perlaksanaan aktiviti RELASIS UTHM.
Pertemuan selama beberapa jam tersebut diisi dengan taklimat dan perkongsian di samping perbincangan yang melibatkan cadangan, persoalan dan harapan yang cuba diketengahkan oleh semua pihak yang terlibat. Antara isu hangat yang dibincangkan adalah perihal teknik dan silibus pembelajaran berkesan, jumlah pengambilan kemasukan pelajar pada setiap semester, penyeragaman sistem pembelajaran dalam kalangan diploma dan ijazah, strategi dalam mengekalkan pelajar ke tahap yang lebih tinggi dan pentauliahan mengikut fasa pembelajaran dan sumber kewangan.
Pihak Politeknik Malaysia yang diwakili oleh Encik Yusni Mohamad Yusak akhirnya sebulat suara mencadangkan agar RELASIS UTHM dilantik sebagai wakil perantara yang akan menyampaikan semua hujah serta pandangan terus kepada pihak Ibu Pejabat RELA Malaysia (IPRM). Segala persoalan dan pencerahan hendaklah akan dibincangkan dan diutarakan terlebih dahulu kepada RELASIS UTHM sebelum diusulkan ke peringkat atasan.
RELASIS UTHM menyambut baik cadangan tersebut dan sentiasa bersedia menjadi rujukan utama dalam kalangan RELASIS IPTA dan IPTS.