Oleh Norzila Roslin, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 12 Dis 2024 – Status orang kurang upaya (OKU) tidak menjadi penghalang kepada Shankaravathanaa a/l Shanmuga Sekar Thenappan, 25 untuk menamatkan pengajian sekali gus menerima segulung ijazah ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-24.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Alam Bina dengan Kepujian yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir itu bersyukur dapat membuktikan bahawa golongan sepertinya mampu berjaya meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran berbanding individu normal lain.
Anak kelahiran Rawang, Selangor ini pada awalnya mengakui agak sukar untuk menghadapi proses pembelajaran kerana bidang pengajian yang agak mencabar keupayaannya.
“Cabaran terhebat saya adalah apabila perlu mengikuti pembelajaran secara dalam talian (online) semasa virus Covid-19 melanda negara, ditambah pula ketika itu saya baru sahaja mendaftar sebagai pelajar di UTHM.
“Pembelajaran secara online agak mencabar kerana saya tidak dapat mendengar melalui audio, manakala video pulak kerap kali mengalami gangguan talian internet.
“Perkara ini menyebabkan saya tidak dapat membaca gerak bibir pensyarah dengan tepat,” katanya.
Namun begitu, Shankara menegaskan sokongan daripada pensyarah dan teman-teman seperjuangan banyak membantu beliau menyelesaikan kekangan yang dihadapi khususnya berkaitan komunikasi.
“Mujurlah teman-teman rapat banyak membantu saya menulis nota dan menerangkan semula secara bertulis tentang apa yang telah dipelajari di dalam kelas,” tambah beliau.
Shankara yang bekerja sebagai sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat di Rawang, Selangor berharap kejayaannya dapat dijadikan pencetus semangat kepada golongan OKU agar sentiasa berusaha memajukan diri dan tidak sesekali berputus asa walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.