Usaha keras Pasukan tunggal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat emas di International Engineering Invention & Innovation (i-ENVEX) yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 11 hingga 13 April lalu.

Pasukan UTHM iaitu Ainul Husna Saifuding, Nurlisa Samad dan Puan Noor Khazanah A. Rahman (Supervisor) telah mempertandingkan produk inovasi ‘Portable Temporary Signage’ yang sangat praktikal untuk kegunaan umum. Produk inovasi itu telah mendapat perhatian dan pujian daripada pihak juri sehingga membolehkan mereka meraih pingat emas dalam pertandingan tersebut.

i-ENVEX telah mendapat penyertaan lebih 10 buah negara antaranya Indonesia, Cambodia, Romania, Korea, Taiwan, India, Ukraine, Kazakhstan, Maldova, Georgia dan Turkimenistan. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan menggalakkan pelajar untuk terlibat dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Ia juga sebagai menyokong cita-cita dan hasrat kerajaan untuk memacu pembangunan negara melalui penekanan kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan dalam bidang rekacipta.

UTHM akan berusaha melahirkan lebih ramai lagi pereka cipta untuk menyertai pertandingan seumpama ini pada tahun-tahun akan datang. Justeru, warga UTHM diseru untuk menyahut cabaran mengetengahkan produk inovasi masing-masing dengan menyertai sebarang pertandingan di peringkat negara mahupun antarabangsa.