BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Penerbit UTHM telah menerbitkan sebuah buku terjemahan dari Kitab Fiqh Zakat karya Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam versi Bahasa Melayu.
Terjemahan itu melibatkan kerjasama dua institusi iaitu Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) UTHM dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan melibatkan seramai 23 penterjemah dari pelbagai institusi.
Kitab dua jilid yang terhasil itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mei 2024 lalu bertempat di Kompleks Seri Perdana Putrajaya dan akan dipasarkan mulai hujung tahun ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, kitab tersebut akan dapat memberi pemahaman, pengetahuan dan ilmu tentang fiqh zakat yang lebih terperinci, yang mana ia dapat memberikan lebih manfaat dan kelebihan dalam memperkasakan pengurusan dan pentadbiran zakat.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UTHM ke Majlis Kolaborasi Strategik dan Serahan Eksklusif Kitab Terjemahan Fiqh Zakat Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang telah dilaksanakan pada 19 Ogos 2024 lalu anjuran bersama iSWAJ UTHM dan PPZ-MAIWP bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Turut hadir ke majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Haji Yosree Ikhsan, Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Haji Mustapahayuddin Abdul Khalim, wakil Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), pegawai PPZ-MAIWP dan pegawai-pegawai universiti serta para ahli penterjemah kitab tersebut.
Pada majlis tersebut telah berlangsung sesi penyerahan hak eksklusif kitab berkenaan, serahan Sijil MyIPO dan Penyerahan Sumbangan Dana Wakalah PPZ-MAIWP berjumlah RM10 ribu kepada 10 pelajar asnaf UTHM terpilih.
Sementara itu, Datuk Abdul Hakim Amir dalam ucapannya berkata kitab terjemahan tersebut bakal menjadi sumber rujukan dan panduan dalam perihal dan pengurusan zakat termasuk menjalankan kajian dan penyelidikan bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi pada masa kini.
Orang ramai boleh memiliki Kitab Terjemahan Fiqh Zakat Karya Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam versi Bahasa Melayu daripada Penerbit UTHM atau mana-mana agensi yang berdaftar bermula hujung tahun ini.