JOHOR BAHRU, 19 Dis 2023 – UTHM melalui Pasukan Mak Janda Johor berjaya meraih anugerah ‘Program Inovasi Terbaik’ ketika menyertai Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2023.

Projek hasil cetusan idea Dr. Adi Syahid Mohd Ali dan Naqibah Azman itu dilaksanakan oleh Muhamad Faris Mohd Hisam dan pasukannya melalui projek ‘Duta Mahasiswa Johor 2023’ yang sebelumnya berjaya menerima dana sebanyak RM 15,000.

Menurut Muhamad Faris, lebih kurang 400 ibu tunggal di Parlimen Batu Pahat menghadapi masalah kekurangan pekerjaan dan mempunyai tanggungan.

“Setelah melakukan beberapa analisa, majoriti ibu tunggal didapati mempunyai kemahiran memasak yang sangat tinggi.

“Jadi kami ingin membantu mereka mengembangkan kemahiran memasak masing-masing dengan menghasilkan satu produk pek makanan yang menggunakan teknologi retort, yang mempunyai nilai ekonomi.

“Penggunaan teknologi retort mampu membuatkan makanan tersebut bertahan selama dua tahun,” kata Muhamad Faris.

Projek yang meningkatkan potensi ibu tunggal itu dilihat memberi kesan positif dalam membantu mereka menjana dan menambah pendapatan melalui projek keusahawanan sosial.

Setakat ini, empat jenis lauk tradisi johor berjaya dihasilkan antaranya ayam masak kicap, kari ayam, daging masak hitam dan ayam ungkep.

Lauk-lauk tersebut sememangnya mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Sehingga hari ini, 1,245 pek berjaya dijual dengan pulangan yang berjaya dijana sebanyak Rm 13,065.00.

Tambah Muhamad Faris, pek makanan yang dihasilkan amat sesuai dijadikan pek makanan mesra bencana dan pek makanan untuk tujuan melancong.

Untuk rekod, beberapa kejayaan telah dirangkul sepanjang projek tersebut dilaksanakan antaranya Usahawan Muda Harapan, pingat gangsa bagi Minggu Penyelidikan & Inovasi 2023, penerima dana projek tertinggi di UTHM bagi tahun 2023 dan Best Inovation Award di APEC Entrepreneurship Education Program 2023, Seoul, Korea.