Oleh Prof. Madya Dr. Noorhaniza Wahid
KUALA LUMPUR – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod kejayaan apabila pertama kali dinobatkan sebagai penerima Anugerah Citra Sahabat DBP (Kategori Sektor Awam) 2023 pada 4 Oktober 2023 lalu.
Anugerah Citra sahabat DBP yang diadakan sempena berlangsungnya Hari Inovasi 2023 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada individu, persatuan, syarikat, pertubuhan ataupun agensi yang telah memainkan peranan penting dan berkesan dalam membantu DBP menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.
UTHM dipilih berdasarkan pencapaian terbaik dalam program berimpak yang merupakan projek rintis pertama kerjasama antara DBP-UTHM yang dilaksanakan oleh FSKTM.
UTHM sebelum ini memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan Program Pendigitalan Bahan Terbitan DBP menerusi Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM pada Januari 2023 lalu di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM.
Program tersebut melibatkan inovasi bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan bahan terbitan DBP, iaitu lima judul buku terbitan yang dimigrasikan kandungannya dalam bentuk aplikasi realiti terimbuh dan perminan digital.
Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM yang diintegrasikan dalam kursus Interaksi Manusia Komputer bagi Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) dengan Kepujian telah memberi impak yang besar kepada para pelajar yang terlibat terutamanya dalam memperkasakan bahasa Melayu dalam pembelajaran.
Hadiah berupa plak, Kamus Dewan Perdana dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Lim Hui Ying telah diterima oleh Profesor Madya Dr. Noorhaniza Wahid selaku penyelaras program dan Dr. Rahayu A Hamid selaku Ketua Jabatan Multimedia, FSKTM.
“Anugerah ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada UTHM dan FSKTM untuk terus bekerjasama dengan DBP dalam menganjurkan program-program berimpak, yang mampu mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa dalam PdP,” kata Dr. Noorhaniza.