Empat Ahli Lembaga Pengarah(LPU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia menerima lantikan semula sebagai ahli bagi tempoh dua tahun lagi. Surat pelantikan telah ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin pada akhir Februari lalu.
Empat ahli LPU tersebut ialah Pengerusi Eksekutif TRC Synergy Berhad, Dato’ Sri Sufri Mohd Zin; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Pang Chau Leong; Pengarah Urusan TALHIS-K Sdn. Bhd, Mejar Jeneral (B) Dato’ Md. Ismail Ahmad Khan dan Profesor Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM,Profesor Ir. Dr. Haji Abas Wahab.
Untuk rekod, pelantikan ahli LPU ini dibuat dua tahun sekali selaras dengan peruntukan Seksyen 17(1) yang melibatkan ahli dari wakil Swasta, wakil Masyarakat, wakil Senat dan Wakil Alumni. Ahli Lembaga Pengarah UTHM yang berjumlah 10 orang ini dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KLIA Premier Holdings Sdn. Bhd, Tan Sri (Dr) Ir. Jamilus Md. Hussin.
Semoga pelantikan tersebut mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang lagi selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.
Pengerusi Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta seluruh warga UTHM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini.