Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Mohd Nazrin Musling, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh
PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diiktiraf sebagai Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited peringkat kebangsaan buat kali kedua berturut-turut.
Pengiktirafan tersebut diterima hasil inisiatif dua kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) dan Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) yang sebelum ini juga pernah mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan dan negeri.
Anugerah tersebut telah disampaikan sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Ulang Tahun Ke-75 Bulan Sabit Merah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 18 Jun 2023 lalu.
Sijil dan plak pengiktirafan bagi kedua-dua anugerah tersebut diterima oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar (PRP) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM.
Beliau berharap agar usaha-usaha murni itu dapat terus dikekalkan di kolej-kolej kediaman UTHM sebagai salah satu acara tahunan, yang mana dapat memberi manfaat kepada individu atau organisasi yang memerlukan bekalan darah.
Tambah beliau, UTHM sentiasa merencana dan menyokong penuh program-program berimpak yang dijalankan di kolej-kolej kediaman pelajar, yang mana ianya akan memberikan satu pendedahan dan nilai tambah kepada mahasiswa selaras dengan pembentukan diri nilai graduan Global, Resilience, Innovative, Trustworthy, Talent (GRITT) Kolej Kediaman yang bertunjangkan paradigma tauhid.
Sementara itu penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP pula berkata selain pengiktirafan peringkat kebangsaan, UTHM turut diiktiraf di peringkat negeri Johor sebagai penganjur kempen derma darah dengan kutipan paling tinggi pada tahun 2022.
Jelas beliau, UTHM telah berkerjasama rapat dengan Unit Perubatan Tranfusi, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bagi menjayakan program derma darah yang bertempat di kawasan kolej kediaman.
“Pihak UTHM dan HPSF meletakkan sasaran sekurangnya satu kali program dijalankan setiap bulan dengan sasaran kutipan beg darah tidak kurang 500 beg setahun.
“Selari dengan tema sambutan tahun ini, ‘Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan’, pihak kami akan terus komited selaku penganjur untuk terus mengadakan kempen derma darah demi kebaikan dan kelangsungan para penerima darah,” katanya.
Pengiktirafan yang diberikan ini secara langsung telah meningkatkan lagi semangat warga UTHM untuk terus menjadi tunjang utama bagi memastikan stok darah sentiasa dalam keadaan yang optimum.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Jun 2023: KKKP UTHM diiktiraf Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited
https://malaysiagazette.com/2023/06/24/kkkp-uthm-diiktiraf-penganjur-kempen-derma-darah-paling-komited/#google_vignette
2. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 23 Jun 2023: Kolej Kediaman Kampus Pagoh UTHM diiktiraf penganjur kempen derma darah paling komited
KOLEJ KEDIAMAN KAMPUS PAGOH UTHM DIIKTIRAF PENGANJUR KEMPEN DERMA DARAH PALING KOMITED