Inovasi ‘Water Dam’ ciptaan pensyarah dan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff mampu menyelamatkan kediaman daripada dimasuki air banjir sekali gus memendekkan jangka masa kejadian ’banjir termenung.’

Sebagai salah seorang mangsa banjir, Dr. Azizi memanfaatkan cuti bencana yang diperolehnya dengan mencipta satu inovasi baharu yang mampu milik bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda yang ada di rumah.

“Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang inovasi, saya giat mencari jalan penyelesaian bagi fenomena ‘banjir termenung’ yang mungkin mengambil masa seminggu dua untuk surut sepenuhnya.

“Dengan ketinggian air sekitar satu kaki memasuki rumah, saya mula mencipta satu empangan bersama sistem pam untuk menyedut keluar air yang bertakung di dalam rumah dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah Dr. Azizi, untuk menghasilkan ‘Water Dam’ tersebut, beliau telah menggunakan barang-barang seperti pam akuarium, beg plastik sampah, hos getah, tikar getah, air, kertas terpakai, penapis plastik dan pemberat.

“Setelah beberapa kali mencuba dan gagal, saya akhirnya bertemu kaedah yang sesuai, dengan menggunakan barang-barang yang mudah didapati dan hanya memerlukan kos kurang daripada RM200,” katanya.

Beliau berharap inovasi ‘Water Dam’ itu dapat dipraktikkan oleh mangsa-mangsa banjir pada ketika ini sebagai usaha untuk memendekkan jangka masa ‘banjir termenung’ sekali gus meminimakan kerosakan harta benda milik mereka.

 

Konsep reka bentuk konvensional empangan tanah.

 

Untuk membina inovasi ini secara ’DIY’, lima langkah mudah ini boleh diikuti :

Langkah 1: Tikar getah yang ada di rumah dipotong mengikut kesesuaian ruang terbuka terutamanya pintu. Tikar ini dilapik dalam bentuk L seperti dalam gambar bagi memberi lekapan yang baik antara permukaan dinding, lantai dan tikar getah.

 

Konsep reka bentuk Empangan Air @ Water Dam mampu milik.

 

Langkah 2: Seterusnya ambil bag plastik sampah, letakkan pemberat di dalamnya serta himpitkan di atas permukaan tikar getah bagi menghalang sebaiknya resapan air antara permukaan tikar getah dan lantai. Kemudian, masukkan air ke dalam beg plastik. Perkara ini diulangi sehingga empangan siap.

Langkah 3: Kertas terpakai diletakkan di antara tikar getah dan empangan Air. Ini bagi membentuk teras empangan yang kebiasaanya menggunakan bahan tanah liat untuk menyekat sebaiknya pergerakan air bawah tanah.

Langkah 4: Bagi penyediaan pam, pam yang digunakan perlu dialas dengan penapis plastik bagi mengelak pam tersumbat dengan bendasing.

Langkah 5:  Tutup bukaan-bukaan lain seperti lubang tandas dan lubang sinki dapur dengan gulungan kertas bersalut plastik bagi menyekat pergerakan air dari lokasi-lokasi ini. Setelah empangan telah siap terbentuk, bekalan elektrik ke pam boleh diaktifkan.

 

Water Dam’ yang telah siap beserta sistem pam.
Gambar semasa air masuk ke rumah dan setelah inovasi ‘Water Dam’ berfungsi dengan baik.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 15 Mac 2023: Empangan RM200 kurangkan impak banjir termenung

EMPANGAN RM200 KURANGKAN IMPAK BANJIR TERMENUNG

 

2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 16 Mac 2023: Inovasi mampu milik mampu tangani ‘banjir termenung’

https://malaysiagazette.com/2023/03/16/inovasi-mampu-milik-mampu-tangani-banjir-termenung/

 

3. China Press (Johor) (page: C3), 16 March 2023: Lecturer invents `soil wall` to minimise impact caused by flood

 

4. China Press (East Coast), (page: C6): University lecturer invents embankment made of earth that can reduce damages caused by floods

 

5. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 23 Mac 2023: Water Dam inovasi dicipta bagi tangani banjir termenung

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/water-dam-inovasi-dicipta-bagi-tangani-banjir-termenung/news