Oleh Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

PAGOH, 27 Feb 2023 – Lapan pelajar mobiliti dari Universitas Gadjah Mada (UGM) berangkat pulang ke negara mereka dengan penuh rasa bangga apabila berjaya memperoleh sijil Kursus Asas QGIS oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) ketika menyertai kursus tersebut pada 19 hingga 21 Disember 2022 lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Kumpulan pelajar kursus biologi UGM itu berasa bertuah kerana selain memperoleh sijil, mereka juga berpeluang memperoleh ilmu baharu di UTHM.

Salah seorang peserta mobiliti, Mayland Muhammad Hanbal yang juga dinobatkan sebagai pelajar terbaik kursus berkata ilmu berkaitan sistem makluman geografi tidak ada di dalam silibus pengajian mereka di UGM.

Makanya peluang mengikuti Kursus Asas QGIS menjadi satu pengalaman yang amat berharga untuk dibawa pulang ke negara asal.

Sementara itu penyelaras program, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah berkata,jadual kursus tersebut telah disusun sehingga ke proses penilaian tahap kopentensi pelajar menghasilkan peta biodaversiti melalui aplikasi QGIS dan menganalisis data mengikut keperluan bidang biodiversiti dan pemuliharaan.

“Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman 42 pelajar Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) terhadap kelebihan sistem maklumat geografi kepada dunia biodiversiti dan pemuliharaan.

“Kumpulan pelajar tersebut diberi tugasan individu untuk menghasilkan peta biodaversiti dan turut diuji secara praktikal aplikasi QGIS untuk penilaian individu,” kata Dr. Nazirah.

Sepanjang tiga hari kursus berlangsung, para pelajar turut didedahkan dengan ilmu geospatial daripada penceramah dari INSTUN.

Dr. Nazirah mewakili pihak penganjur berharap jalinan kerjasama bersama INSTUN dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa.

“Kerjasama seumpama ini mampu menjadi pemangkin kepada pertambahan bilangan pelajar mobiliti ke Jabatan Teknologi dan sumber semulajadi khususnya, dan FAST amnya,” katanya.