BATU PAHAT – Pecutan dua tahun terakhir sebelum tamat pengajian ternyata membuahkan hasil apabila Hajar Shahirah Che Ariffin, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (dengan kepujian) berpeluang menaiki pentas menerima skrol graduan dan beberapa anugerah kecemerlangan pada 3 Disember 2022.
Hajar, 24 graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina menerima Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Khas Alumni (Kategori Akademik) dan Anugerah Canselor ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-22.
Menurut Hajar yang berjaya mengekalkan pointer kelas pertama, pecutan dua tahun terakhir itu dilakukan selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen ke -19 UTHM bagi pengajian peringkat diploma pada tahun 2019.
Hajar yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor pada ketika itu terinspirasi apabila melihat rakan-rakannya yang lain turut naik ke pentas menerima anugerah dengan gelaran dan pangkat tersendiri.
“Pada ketika itu bangkit satu perasaan dalam diri saya untuk mencabar kemampuan diri untuk mula mencipta lebih banyak kecemerlangan,” katanya.
Sebelum memulakan langkah, Hajar berpegang kepada kata-kata bapanya Che Ariffin Abdullah iaitu “Jika sesuatu perkara itu sukar, tidak akan ada orang yang dapat, tetapi jika ianya mudah, semua orang akan dapat.”
Manakala ibunya, Maizan Sulong pula berpesan agar berusaha dahulu, hasilnya kita miliki atau tidak, itu urusan tuhan.
Selain memberi komitmen penuh dalam pelajaran, Hajar juga turut menyertai persatuan serta program luar universiti di pelbagai peringkat bagi meningkatkan kemahiran insaniah setelah tiga tahun aktif sebagai atlet dalam pasukan Pencak Silat.
Tambah Hajar, kunci yang paling kuat adalah doa orang sekelilingnya terutamanya kedua ibu bapanya.
“Setiap kali peperiksaan ataupun sekadar kuiz berdurasi lima minit, saya akan mengambil masa menelefon keluarga untuk memohon doa agar diberi ilham, kecerdasan akal fikiran dan kelembutan jiwa kepada para pensyarah yang bakal memeriksa kertas jawapan tersebut.
“Kejayaan saya hari ini juga berkat sokongan para pensyarah dan rakan-rakan yang sabar dan tidak jemu memberi tunjuk ajar setiap kali saya tidak faham akan sesuatu topik,” katanya.
Hajar turut berpesan kepada bakal-bakal graduan agar bijak membahagikan masa dan menguruskan stress bagi memastikan diri tidak terlalu burn out.
“Saya juga menyeru rakan-rakan kampus untuk belajar menguruskan kewangan dengan bijak dan mempunyai wang simpanan kecemasan semasa zaman belajar lagi kerana proses ‘job hunting’ selepas tamat belajar memerlukan wang untuk kelangsungan hidup,” katanya