Allah berfirman dalam Surah al-Hijr ayat 86 yang bermaksud, “Sesungguhnya tuhanmu itu maha pencipta dan maha mengetahui.” Antara pelbagai ciptaan, manusia merupakan makhluk pilihan Allah yang ditakdirkan untuk berada dalam salah satu penghujung spektrum alam yang ekstrim. Manusia boleh menjadi sehina-hina makhluk apabila martabatnya dijatuhkan angkara tangannya sendiri seperti kes ketagihan pornografi, pembuangan bayi, penderaan, pembersihan etnik hanya kerana isu perkauman dan peperangan. Tetapi di satu sudut lain, makhluk yang terpuji dan termulia iaitu Nabi Muhammad SAW iaitu penghulu para Nabi juga merupakan spesis manusia. Penciptaan manusia dipertikaikan oleh Iblis yang tidak menyangka terdapat makhluk lain yang lebih layak menjadi khalifah. Tambahan pula, manusia dikatakan hanya berasal daripada tanah yang kotor, berbanding dirinya yang berasal daripada api yang terlihat lebih ‘superior’ daripada tanah.

Personal

Pengalaman peribadi kita sebagai manusia menjadi bermakna dengan adanya keupayaan berfikir dalam menjalani momen demi momen tertentu dalam hidup. Setiap saat dalam kehidupan manusia adalah amat bernilai. DNA (Deoxyribonucleic Acid) dapat menentukan ciri asas biologi manusia yang diwarisi secara turun-temurun. Namun begitu, reaksi dengan persekitaran yang dapat menentukan manakah antara ciri tersebut boleh diperteguhkan atau diabaikan sahaja lalu tidak diaktivasikan dalam kehidupan nyata atau dikenali sebagai proses epigenetik. Profesor James Flynn, pakar IQ dalam karyanya “Does Your Family Makes You Smarter?” menyatakan bahawa tindakan-tindakan yang kita pilihlah yang menentukan bakat apa yang dapat diperkembangkan. Tiada anak yang dapat meniru 100% bakat bapanya sekalipun bakat itu diperturunkan kepada anaknya yang termaktub dalam DNA. Lagipun, sesuatu yang dipraktikkan oleh seorang bapa yang merupakan pekebun pada tahun 1960-an misalnya tidak lagi relevan melainkan setelah disesuaikan dengan situasi semasa. Melalui proses epigenetik, anak pekebun memiliki pendekatan personal yang tidak 100% menyerupai ayahnya iaitu menggunakan mesin dron yang boleh memudahkan pekerjaannya. Hal ini mempamerkan realiti kerjaya petani yang berubah sekalipun memiliki bakat yang sama. Bakat diterjemahkan dalam bentuk yang lebih menguntungkan pada suatu masa tertentu.

Allah yang menciptakan manusia dan Dia Maha Bijaksana membuka seluas-luasnya peluang untuk kita menjadi seseorang yang kita pilih untuk jadi. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud, “Aku mengikut sangkaan hambaku terhadapku.” Jika Allah mahu, Dia boleh memasukkan kod tertentu agar manusia mentaati Allah sepertimana ketaatan para malaikat yang tidak makan, minum, tidur malah terus berzikir memuji Allah. Namun, manusia ialah ciptaan Allah yang diberikan kebebasan memilih. Allah SWT mahu melihat siapa antara kita yang menanam sangkaan yang benar tentang Allah melalui penilaiannya sendiri dan bukan secara paksaan.

Dewasa ini terdapat kepintaran buatan atau (artificial intelligence) yang bukan sahaja mengikut pengaturcaraan tuannya tetapi boleh ‘belajar’ dan membuat keputusan sendiri berdasarkan maklumat yang diterima dan dikumpulkan. Teknologi ini dinamakan ‘machine learning’ yang tidak ubah seperti kejadian manusia yang boleh membuat keputusan terbaik tanpa arahan yang khusus. Mesin yang boleh ‘berfikir’ dan beradaptasi adalah jauh lebih baik daripada mesin yang pasif. Sebagai contoh, sistem irigasi air menganalisis jumlah air dan baja pokok yang diperlukan bersesuaian mengikut cuaca dan kelembapan pokok sedia ada. Sekiranya hari lembab maka jumlah air yang disalurkan tidaklah banyak. Sistem irigasi tidak boleh mogok apabila tiada arahan yang diberi, malah sistem itu sendiri yang perlu menganalisis cuaca. Sebagaimana seorang saintis komputer yang termaju mengiktiraf kebolehan mesin-mesin mengadaptasi perubahan persekitaran, begitu jugalah kejadian manusia yang dihantar ke dunia sebagai khalifah Allah untuk menyelesaikan sesuatu masalah baharu yang dihadapi berdasarkan analisis atau ijtihad. Sangkaan baik terhadap Allah terjadi apabila manusia menganalisis kesukaran yang dihadapi dan dengan rela mencari penyelesaian terbaik tanpa menyangka bahawa Allah mengkehendaki keburukan atas dirinya. Ini adalah fakta kehidupan. Tiada sesuatu yang kurang dalam penciptaan Allah. Sangkaan baik kita perlu bulat akan kesempurnaan tuhan. Manusia sahaja yang belum sempurna dalam melihat peranannya dan harus mensyukuri serta menerima bahagian masing-masing dalam kehidupan. Setiap manusia perlu berusaha menyesuaikan diri dan menjadikan dunia ini serta alam sekitar sebagai suatu tempat  kehidupan yang baik bagi dirinya agar mendapat reda tuhan, sekalipun tidak difahami oleh masyarakat sekeliling. Sangkaan ini amat personal sifatnya. Tiada dua manusia yang diciptakan dalam situasi dan konteks yang benar-benar sama.

Konflik

Akhir-akhir ini, statistik menunjukkan bahawa gangguan kesihatan mental semakin membimbangkan di serata dunia. Menurut kajian, ini ialah rentetan daripada wabak Covid-19. Ketika pandemik berlaku, segala gerak kerja terbatas dan segala yang dirancang melibatkan projek pembangunan jutaan ringgit terpaksa dibatalkan umpama segala nikmat yang ada seolah-olah ditarik balik oleh Allah. Manusia terkepung dalam zon masing-masing agar risiko jangkitan dapat diminimumkan. Premis perniagaan dan masjid turut ditutup. Masa pula seolah-olah tidak bergerak.

Penyesuaian diri perlu dipraktikkan agar dapat bersangka baik dengan ujian Allah. Hal ini direalisasikan dengan menyusun segala sumber yang ada dalam situasi baharu. Ketika saat getir tidak dinafikan manusia sukar bersangka baik dengan ujian Allah. Hal ini kerana proses untuk menyesuaikan diri dengan situasi pandemik amatlah mencabar sehingga ramai orang mengangkat bendera putih. Kudrat fizikal yang gagah dan akal fikiran yang tajam pun rupanya tidak mampu lagi beraksi saat mengharungi dugaan besar sebegini. Menyedari keadaan ini, ramai terpaksa memohon bantuan tanpa segan silu kerana situasi pandemik yang di luar jangkaan.

Konflik mula terjadi apabila seorang manusia tidak dapat menerima keadaan dirinya lantas berdiam diri dan membatu tanpa mendapatkan bantuan. Malahan konflik terjadi apabila manusia yang tidak terkesan dengan pandemik khuatir untuk keluar daripada zon selesa sanggup berkorban dengan mengurangkan gaya hidup mewah. Kedua-dua belah pihak iaitu yang tidak mencari pertolongan dan tidak memberi pertolongan sukar untuk keluar daripada status quo. Apabila tidak dapat menyesuaikan diri maka masalah pun semakin meruncing. Lalu, sangkaan buruk kepada Allah akan menerpa. Setelah manusia menutup pintu hatinya, Allah juga tidak mampu berbuat apa-apa. Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” (Surah al-Ra’d: 11). Apa yang menjadi konflik kemanusiaan akhirnya menjadi konflik keyakinan kepada Tuhan.

Penyelesaian Masalah

Dalam ilmu psikologi, masalah dikatakan penajam kemahiran. Seorang yang paling bijak tetap perlu mengaku kedangkalan dirinya menghadapi saat sukar. Seorang yang paling gagah juga perlu lebih peka terhadap apa yang dituntut daripada dirinya. Pemurnian jati diri hari demi hari terjadi melalui analisis masalah dan penyesuaian diri. Konflik akan menjadi serius apabila tiada analisis masalah dibuat. Kebiasaannya, keengganan membuat penyesuaian diri berlaku apabila berpindah ke dalam konteks yang berbeza bukan sahaja melibatkan rakyat marhaen. Perkara yang amat mengecewakan ialah golongan bijak pandai dan elit yang diharapkan pula ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Melalui konflik, manusia terpinga-pinga kemudian saling menuding jari dan paling menakutkan apabila mereka mencari jalan singkat menamatkan semua ini dengan membunuh diri. Sebanyak 60 kes bunuh diri telah dilaporkan dalam masa dua tahun sahaja berbanding jumlah sama yang berlaku dalam tempoh lima puluh tahun sebelum pandemik. Sekiranya kita mendekati golongan yang ingin membunuh diri kita akan mendapati bahawa tiada ertinya lagi bantuan dihulurkan kerana jiwa mereka sudah mati. Mereka merupakan golongan yang berputus asa dalam membantu diri sendiri dan telah menutup jalan bantuan daripada pihak luar sama sekali. Keinginan meneruskan hidup melibatkan bahagian otak yang tidak melihat logik peristiwa tetapi melihat kewujudan dirinya sebagai sesuatu yang perlu dihargai. Dr. Jill Bolte Taylor, seorang pakar neuroanatomi mendapati tidak ramai manusia yang mencapai kebahagiaan hanya dengan logik. Otak berfungsi bukan secara logik sahaja tetapi juga melihat keistimewaan diri mereka dari sudut pandangan yang lebih luas. Ini digarap dalam tatacara budaya dan nilai. Malangnya sekalipun sekolah sudah melaksanakan tugas dalam mengajar logik tetapi budaya tidak dapat memberikan sistem sokongan yang utuh dalam membina sikap dan nilai individu.

Menjaga Diri

Mekanisme penyelesaian masalah yang dikehendaki adalah dengan memperbaiki diri terlebih dahulu. Dalam ilmu keselamatan dan kesihatan pekerjaan, seorang yang berada dalam situasi kebakaran haruslah menyelamatkan dirinya terlebih dahulu sebelum orang lain. Menyelamatkan diri bermaksud menyiapkan diri dengan ilmu dan senjata yang baik untuk menghadapi saat-saat sukar. Kejahilan dan keegoan yang tinggi dapat menjauhkan seseorang daripada keselamatan.

Ilmu psikologi adalah salah satu cabang ilmu sains sosial. Sekiranya ilmu sosiologi berkaitan dengan hubungan dengan masyarakat, ilmu psikologi pula berhubungan dengan diri individu itu sendiri. Ilmu ini menyiapkan individu agar dapat mempersiapkan diri dengan ilmu asas penjagaan mental serta penjagaan tingkah laku. Proses mengenal diri terlebih dahulu amat penting kerana masih banyak misteri tentang kekuatan diri kita yang belum kita temui. Kita juga sudah maklum dengan adanya masalah yang datang sama ada dengan disengajakan ataupun tidak. Contohnya, apabila ada seorang pelancong Inggeris yang tersesat di depan rumah kita, maka kita terpaksa bertutur dalam bahasa Inggeris yang mungkin telah lama kita lupakan. Namun peristiwa tersebut menjadi pencetus kepada proses ingat kembali akan perbendaharaan kata bahasa Inggeris dan ini adalah sesuatu yang memandaikan kita.

Sekiranya individu masih bersekolah, permasalahan yang terancang disusun agar sekolah dapat melaksanakan penyelesaian masalah secara berjemaah dan prasarana dapat disediakan dengan lebih awal. Walau bagaimanapun, situasi di luar pendidikan formal permasalahan akan berlaku secara rawak. Dalam keadaan ini, ilmu yang dipelajari perlu ditingkatkan dengan menjalin hubungan dengan para pemimpin dan Ulama’. Pengalaman dengan orang lain akan dapat menjadi titik tolak yang amat bermakna terutama bagi seorang individu yang membuat refleksi kendiri tentang mutiara ilmu yang harus dikutip dan dijadikan pegangan hidup. Kebijaksanaan individu amat dituntut dalam melihat sesuatu perkara untuk menjadi senjata yang dapat memberikan perlindungan diri di saat menghadapi kesukaran pada masa akan datang. Perkara ini tidak lagi disediakan di sekolah, terutama bagi mereka yang telah melalui alam dewasa. Sebaliknya, pengalaman hidup dikatakan sebagai sekolah sebenar. Pengalaman personal harus diteruskan agar menjadi ilmu yang lebih bermakna melalui refleksi mendalam yang boleh dilakukan pada setiap masa dan ketika oleh seseorang.

Tawakal

Setiap individu mestilah belajar menyesuaikan diri dengan keadaan atau situasi. Tip penyesuaian diri yang paling mampan adalah bertawakal setelah berusaha keras. Di hujung proses inilah Allah mendatangkan diri kita yang baharu yang belum pernah kita kenal. Kita yang lebih sedar akan hakikat bahawa diri sentiasa memerlukan bantuan disertakan dengan kebesaran Allah dalam membuat sesuatu yang dikehendaki tanpa terikat dengan apa pun. Inilah hikmah yang akhirnya hanya dapat dilihat oleh mata hati orang yang bersangka baik pada ujian Allah. Janji Allah, “Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambaNya” (Surah Fussilat ayat 46). Kehendak kita haruslah hanya satu iaitu menjadi hamba Allah yang jujur sama ada dalam keadaan suka, duka, susah dan senang. Inilah syurga ‘Ajilah (kebahagiaan yang disegerakan di dunia) iaitu dapat melihat kebesaran Allah sehingga hilang keperluan selain daripada mengingatiNya ketika masih hidup di dunia ini dan sebelum menutup mata.

Kesimpulannya, Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW yakni individu yang wajib dijadikan teladan. Membina peribadi adalah proses yang panjang dan kegagalan kita mengiktiraf potensi yang Allah kurniakan adakala disalah anggap hanya kerana kita mahu disuap dengan penyelesaian terus daripada tuhan tanpa melakukan usaha. Seharusnya kita menjadikan setiap pengalaman peribadi sebagai ilmu yang amat bernilai. Sepanjang proses itu, kita harus merujuk kepada guru serta pemimpin yang lebih berilmu. Masalah yang datang akan mengajar kita apabila kita menerimanya dan mencari penyelesaian dengan bersungguh-sungguh serta tidak melupakan Allah.

 

 

 

Dr.  Norkhairolizah Hamzah
Pensyarah Kanan
Jabatan Ikhtisas Pendidikan Dan Siswazah
Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)