Oleh Dr. Fadillah Ismail

JOHOR BAHRU –  Kolaborasi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama rakan strategik iaitu Mahkamah Perusahaan Malaysia telah memberi impak positif kepada pelajar Sarjana Sains Pengurusan Industri dalam menjayakan projek kerja lapangan bagi subjek Managing Human Capital (MPE 11103).  

Kolaborasi tersebut memberi peluang kepada para pelajar fakulti terbabit menyertai perbicaraan kes perusahaan yang diadakan pada 5 September 2022 lalu.

Menurut Pensyarah program, Dr. Fadillah Ismail, peluang turut serta dalam prosiding itu telah memberi 1000 manfaat kepada pelajar untuk mendapat pendedahan berkaitan gambaran sebenar prosedur dan tatacara sesuatu perbicaraan.   

Tambah beliau inisiatif seumpama itu diambil bertujuan memberi nilai tambah dan pengalaman baharu kepada para pelajar agar mereka dapat menguasai pasaran kerja setelah bergraduan nanti.

Kumpulan pelajar yang terlibat juga turut diberi keistimewaan untuk menemuramah Hakim Mahkamah Perusahaan 16, Azwarnida Affandi.

Pada pertemuan tersebut, Azwarnida berkongsi perjalanan kerjayanya selama 22 tahun yang diwarnai dengan pelbagai cabaran dalam mengendalikan kes-kes pertikaian.

“Perbicaraan kes-kes pertikaian ini bertujuan mewujudkan suasana keharmoniaan dalam perhubungan perusahaan agar tidak ada pihak yang berasa terkilan atau tidak puas hati,” katanya.

Beliau yang berpegang kepada prinsip “benda yang iya jangan ditidakkan dan benda yang tidak jangan diiyakan” turut menitipkan pesanan kepada kumpulan pelajar tersebut untuk menjadi seorang yang berdisiplin tinggi dan berjiwa kental selain tidak terlalu memilih pekerjaan setelah tamat belajar kelak.

 

Bergambar bersama Hakim Mahkamah Perusahaan 16, Azwarnida Affandi (tiga dari kiri).