Oleh AZMI NORDIN
Kosmo, 11 Ogos 2022 : Kenyataan daripada Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani, Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
PETALING JAYA – Individu yang sering melalui perjalanan jauh perlu menggunakan penjejak lokasi atau live location bagi membolehkan ahli keluarga menjejaki mereka sekiranya hilang dalam tempoh yang lama.
Aplikasi yang terdapat di dalam WhatsApp itu juga mampu mengurangkan risiko insiden tragis pemandu sekiranya terbabit dalam kemalangan.
Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, aplikasi berkenaan adalah solusi jangka masa pendek yang boleh digunakan semua pihak dalam mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya, melalui aplikasi berkenaan, setiap individu boleh berkongsi dengan pihak lain keberadaan mereka dalam tempoh beberapa lama.
“Cara ini paling mudah dan perlu dipraktikkan. Dalam situasi ini adalah bagus kita jaga diri sendiri dan semua orang pastikan keluarga tahu di mana kita bagi mengelakkan kejadian hilang tanpa jejak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian menimpa seorang juruukur yang dilaporkan hilang tiga hari sejak Sabtu lalu ditemui dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Kilometer 24, Jalan Mersing-Kota Tinggi berhampiran Jemaluang, Mersing kelmarin.
Dalam pada itu, Munzilah memberitahu, kerajaan boleh mengambil langkah jangka masa panjang dengan menambah bilangan televisyen litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berpotensi kemalangan di seluruh negara.
“Kerajaan boleh menambah CCTV di lebuh raya, malah sekurang-kurangnya di persimpangan bagi membolehkan kita menjejak kenderaan sekiranya terdapat laporan kehilangan, keseragaman nombor plat kenderaan perlu ada bagi merealisasikan idea ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua menegaskan, kerajaan perlu menyelenggara jalan dan lebuh raya bagi memastikan tahap keselamatan di peringkat tertinggi.
“Sebagai contoh, jalan-jalan di Pantai Timur di mana kebanyakannya tidak sempurna termasuk penghadang jalan rosak dan tidak diselenggara semula dan kurang pencahayaan.
“Kemungkinan untuk pemandu terbabas lalu terbalik ke dalam gaung atau sungai semakin tinggi, kejadian hilang dalam masa yang lama adalah disebabkan traftk yang kurang dan kurang pencahayaan di jalan raya perlu dilihat semula,” ujarnya.
Berita ini juga diterbitkan di :
1. kosmo.com, 11 Ogos 2022 : https://www.kosmo.com.my/2022/08/11/guna-live-location-elak-pemandu-hilang-tanpa-jejak/